
TAIPING – Program Hari Potensi Alpha Gen Talent dan Hari Kemahiran KEMAS Negeri Perak menjadi medan penting untuk mencungkil bakat serta mengembangkan potensi generasi muda dalam pelbagai bidang, termasuk sukan dan kemahiran.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program seumpama itu bukan sekadar memberi peluang kepada peserta mempamerkan kebolehan, malah membina keyakinan diri, keberanian mencuba dan kesediaan mempelajari perkara baharu.
Katanya, setiap kanak-kanak mempunyai kekuatan dan bakat tersendiri yang perlu diberikan ruang serta bimbingan agar dapat berkembang secara optimum.
“Setiap anak mempunyai kekuatan tersendiri. Peranan ibu bapa adalah memberi ruang dan bimbingan supaya bakat mereka dapat terus berkembang,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Hari Potensi Alpha GenTalents@KEMAS Peringkat Negeri Perak di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, selain bakat dalam bidang sukan, kemahiran seperti memasak, menjahit, dandanan, komputer dan seni tangan turut mempunyai nilai besar sekiranya diasah secara berterusan.
Menurutnya, kemahiran berkenaan bukan sahaja boleh menjadi aset peribadi, malah berpotensi dikembangkan sebagai kerjaya dan sumber pendapatan pada masa hadapan.
“Menang atau kalah itu cerita kemudian. Yang penting mereka berani masuk gelanggang, mencuba dan belajar benda baharu,” katanya.
Saarani berkata, usaha mengenal pasti dan menggilap bakat sejak usia muda perlu diteruskan kerana pencapaian besar pada masa depan boleh bermula daripada peluang kecil yang diberikan hari ini.
“Teruskan mencuba, terus belajar. Siapa tahu, daripada langkah kecil hari ini lahir atlet, cef, pakar teknologi atau usahawan hebat suatu hari nanti,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KEMAS Negeri Perak, ibu bapa, pendidik serta semua pihak yang terus menyediakan ruang dan peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka kebolehan masing-masing.
Program itu sekali gus mencerminkan kepentingan pendekatan pembangunan bakat yang bukan hanya berorientasikan akademik, sebaliknya turut memberi penekanan kepada kemahiran, kreativiti, keyakinan diri dan potensi ekonomi generasi masa depan.





