Tian Chua sedia kembali ke PKR

AYER KEROH – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, menyatakan kesediaannya untuk kembali menyertai parti itu sekiranya khidmatnya masih diperlukan dalam meneruskan perjuangan reformasi.

Beliau berkata, perjuangan PKR bukan bersifat peribadi atau milik mana-mana pemimpin, sebaliknya merupakan perjuangan yang perlu dikongsi bersama seluruh rakyat.

Menurutnya, kesediaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuka ruang kepada veteran dan bekas anggota yang pernah dipecat kembali menyertai parti itu wajar disambut dengan mengetepikan perselisihan lalu.

“Perjuangan ini bukan peribadi, bukan milik siapa-siapa dan bukan milik pemimpin, tetapi perjuangan ini adalah milik semua rakyat.

“Bila Presiden, Anwar Ibrahim, menyatakan kesudian untuk menerima kembali veteran-veteran lama bersama-sama berjuang dan menyertai perjuangan ini, saya rasa kita boleh mengetepikan perselisihan lama untuk bersama-sama meneruskan perjuangan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP).

Tian Chua berkata, beliau menyerahkan kepada Anwar selaku Presiden PKR untuk menentukan sama ada dirinya dan bekas anggota lain yang pernah dipecat sesuai kembali menyertai parti itu.

“Saya serah kepada Presiden parti, Anwar Ibrahim, untuk menerima kembali saya dan juga semua anggota lama yang telah dipecat,” katanya.

Beliau berkata, di luar struktur kepartian sekalipun, komitmennya terhadap aktiviti sosial dan isu kemasyarakatan tidak pernah terhenti.

“Saya kekal sebagai seorang aktivis. Sebelum saya menyertai politik dan parti-parti politik, saya adalah seorang yang komited dalam aktivisme sosial dan berkhidmat dalam isu kemasyarakatan.

“Walaupun saya di luar parti, saya tidak ketinggalan dalam isu ini melalui NGO, termasuk isu Palestin, isu antarabangsa dan masyarakat,” katanya.

Tian Chua berkata, pendiriannya terhadap perjuangan reformasi tidak berubah, malah bersedia memberikan khidmat sekiranya PKR memerlukannya.

“Bagi saya, saya tidak ubah pendirian saya. Yang berbeza ialah jika PKR perlukan perkhidmatan saya, saya sedia untuk menyumbang dan mengukuhkan lagi perjuangan ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar sebelum ini mengalu-alukan veteran serta bekas anggota PKR yang pernah tersisih daripada parti untuk kembali bersama perjuangan, dengan menekankan keperluan memperkukuh semula gerakan reformasi.

Anwar turut mengingatkan bahawa sebahagian bekas anggota yang pernah memenangi pilihan raya atas platform PKR memperoleh sokongan rakyat berdasarkan agenda keadilan dan reformasi yang dibawa parti itu.

Tian Chua merupakan antara tokoh awal PKR dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu.

Rekod Parlimen turut menyenaraikan beliau sebagai Ahli Parlimen Batu dan anggota PKR dalam tempoh terdahulu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRN) ke-15, Tian Chua bertanding sebagai calon Bebas di Batu selepas tidak dicalonkan PKR, sebelum beliau dipecat daripada parti berikutan keputusan bertanding di kerusi berkenaan.

Related Posts

‘Biar DAP habiskan persidangan dahulu’ – Anwar

AYER KEROH – “Biar habis persidangan DAP dahulu,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Itu adalah reaksi ringkas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai keputusan Persidangan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Jentera Pilihan Raya PKR akan dikelolai Amirudin Shari

AYER KEROH –  Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari diberi mandat penuh dalam menentukan strategi dan gerak kerja parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Presiden…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

‘Biar DAP habiskan persidangan dahulu’ – Anwar

‘Biar DAP habiskan persidangan dahulu’ – Anwar

Tahap integriti penjawat awam makin baik

Tahap integriti penjawat awam makin baik

Jentera Pilihan Raya PKR akan dikelolai Amirudin Shari

Jentera Pilihan Raya PKR akan dikelolai Amirudin Shari

Tian Chua sedia kembali ke PKR

Tian Chua sedia kembali ke PKR

Gempa bumi Sumatera: Pulau Pinang terkawal, tiada cedera

Gempa bumi Sumatera: Pulau Pinang terkawal, tiada cedera

Demi kestabilan politik, PKR tidak akan ‘ceraikan’ UMNO

Demi kestabilan politik, PKR tidak akan ‘ceraikan’ UMNO