
AYER KEROH – PKR kekal memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh gerak kerja jentera dan memperbaiki parti, tanpa terheret dengan perkembangan membabitkan parti komponen Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tumpuan utama parti ketika ini adalah Kongres Nasional Keadilan yang menghimpunkan pimpinan serta anggota perwakilan untuk membincangkan agenda pengukuhan parti.
Menurut beliau, pelbagai pandangan yang disuarakan pimpinan dan perwakilan juga memberi fokus kepada usaha memperkukuh gerak kerja jentera serta memperbaiki kelemahan dalam parti.
“Kami fokus pada kongres. Banyak daripada apa yang kita lihat dan disampaikan memberi fokus kepada usaha memperkukuh gerak kerja jentera dan memperbaiki parti.
“Banyak pemikiran daripada pimpinan dan anggota perwakilan juga sangat khusus dan fokus kepada soal Keadilan,”katanya selepas meninjau bilik media sempena Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas pertanyaan media mengenai persidangan usul DAP untuk keluar daripada kerajaan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, PKR mahu memanfaatkan Kongres Nasional Keadilan yang berlangsung ketika ini untuk meneliti dan memperkemas agenda parti, selain memastikan perjuangan Keadilan terus menjadi keutamaan.
“Jadi, hari ini dan esok memang kita fikirkan tentang PKR,” katanya.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebelum ini dilapor berkata, perwakilan DAP akan menentukan kedudukan parti itu dalam kerajaan pada persidangan Ahad ini dengan usul mengenai perkara itu akan dibentangkan kepada hampir 4,000 perwakilan sebelum diputuskan.
Ia juga antara lain akan menentukan hala tuju DAP dalam arena politik tanah air secara kolektif.






