
AYER KEROH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan, cadangan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) akan dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.
Beliau berkata, perkara itu susulan pengumuman yang dibuat ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026 sebelum ini.
“Dah umum jadilah. Ya lah, maksud bila… Saya akan bawa ke Kabinet hari Rabu lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucapan pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Dalam ucapan dasar kongres berkenaan, Anwar mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi lebih ruang kepada mahasiswa untuk terlibat dalam aktiviti politik dan demokrasi.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperluas ruang kebebasan mahasiswa serta memperkukuh budaya demokrasi di institusi pengajian tinggi.






