KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan 6.0 peratus pada suku kedua 2026 hasil prestasi mantap yang mengatasi jangkaan susulan prestasi eksport lebih kukuh, perbelanjaan isi rumah yang kekal mampan serta aktiviti pelaburan berterusan.
Pencapaian enam bulan pertama 2026 itu adalah lebih tinggi berbanding 4.5 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu, membolehkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia meningkat 5.7 peratus bagi separuh pertama 2026 selepas mencatatkan pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi Malaysia terus menunjukkan daya tahan meskipun berdepan ketidaktentuan luaran, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh.
“Ekonomi Malaysia kekal berada pada landasan yang kukuh. Pertumbuhan pada 2026 diunjurkan kekal dalam julat unjuran empat hingga lima peratus dengan perkembangan terkini mengisyaratkan bahawa pertumbuhan keseluruhan berpotensi mencecah sekitar lima peratus.
“Walaupun prospek pertumbuhan terus dipengaruhi oleh perkembangan luaran, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran tersebut, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh serta kesediaan dasar,” katanya pada Taklimat Media Prestasi KDNK Suku Kedua 2026, pada Jumaat yang turut dihadiri Ketua Perangkawan, Siti Asiah Ahmad.

Dalam pada itu, Abdul Rasheed berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi keseluruhan 2026 dijangka menghampiri 5.0 peratus, susulan prestasi kukuh yang direkodkan pada separuh pertama tahun ini.
Katanya, walaupun unjuran rasmi pertumbuhan ekonomi masih dikekalkan dalam julat 4.0 hingga 5 peratus, perkembangan terkini termasuk pertumbuhan KDNK sebanyak 5.7 peratus pada separuh pertama tahun memberi keyakinan bahawa pertumbuhan tahun ini berpotensi berada sekitar 5.0 peratus.
“Berdasarkan data yang diterima serta data berfrekuensi tinggi yang kami pantau, kami semakin yakin pertumbuhan akan berada sekitar 5.0 peratus.
“Namun, sama ada unjuran itu akan disemak atau tidak, perkara terbabit biasanya akan diputuskan ketika proses pengumuman Belanjawan,” katanya.







