
KOTA KINABALU – Perkhidmatan bas berhenti-henti BAS.MY Kota Kinabalu kini beroperasi sepenuhnya menerusi lapan laluan, sekali gus meningkatkan ketersambungan pengangkutan awam bagi penduduk bandar raya ini dan kawasan sekitarnya.
Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah (LPKP Sabah) memaklumkan, operasi penuh membabitkan laluan S01 hingga S08 itu bermula pada 11 Ogos lalu.
“Pelaksanaannya menyusuli fasa pertama yang bermula secara berperingkat pada 1 April lalu menerusi laluan S01 dan S05, sebelum diperluaskan kepada enam lagi laluan, iaitu S02, S03, S04, S06, S07 dan S08.
“Setakat 10 Ogos lepas, seramai 194,265 penumpang telah direkodkan menggunakan dua laluan awal berkenaan, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
“Jumlah pengguna dijangka terus meningkat susulan pengoperasian enam laluan tambahan berkenaa,” ujarnya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Dalam pada itu, LPKP Sabah berkata, sebanyak 48 bas baharu disediakan bagi menghubungkan hab utama di KK Sentral dan Pekan Menggatal dengan kesemua lapan laluan itu.
“Perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu akan beroperasi setiap hari dari jam 5.30 pagi hingga 11.00 malam dengan kekerapan antara 15 hingga 30 minit.
“Bas yang disediakan dilengkapi sistem pemantauan Sistem Penentududukan Global (GPS) masa nyata, pembayaran tanpa tunai, e-tiket dan kamera litar tertutup (CCTV).
“Selain itu ia turut dilengkapi dengan penghawa dingin serta tempat duduk yang selesa, reka bentuk bas itu juga mesra orang kurang upaya (OKU) dan warga emas,” kongsi kenyataan tersebut.
Menurut LPKP, BAS.MY turut menawarkan kad konsesi percuma kepada pelajar, OKU dan warga emas dan sehingga kini seramai seramai 960 individu sudah mendaftar bagi mendapatkan kemudahan berkenaan.
Tambahnya, perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu merupakan inisiatif Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pengangkutan di bawah Program Transformasi Bas Berhenti-Henti (SBST).
“Kerajaan telah memperuntukkan RM17.6 juta setahun untuk pelaksanaannya, membabitkan nilai keseluruhan RM88 juta bagi tempoh lima tahun.
“LPKP Sabah berharap pengoperasian penuh BAS.MY dapat menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang lebih selamat, cekap dan selesa kepada penduduk Kota Kinabalu serta kawasan sekitarnya,” katanya.





