
GOMBAK – Perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 1 yang menghubungkan Kota Bharu ke Gombak disasarkan mula beroperasi pada Disember ini, lebih awal berbanding jadual asal pada Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sasaran berkenaan bergantung kepada kelancaran proses ujian dan pentauliahan yang sedang dijalankan, termasuk Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Fault-Free Run (FFR).
Beliau menegaskan usaha mempercepatkan operasi ECRL tidak akan mengorbankan aspek keselamatan, dengan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan kontraktor utama China Communications Construction Company Ltd (CCCC) diminta mengoptimumkan tempoh ujian.
“Kita cuba melihat bagaimana Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) boleh membantu memudah cara urusan berkaitan proses ujian dan pentauliahan bagi mempercepat projek ini tanpa kompromi terhadap keselamatan,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Jumaat.
Anthony berkata, proses ujian lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga bulan, namun pihaknya sedang meneliti kaedah untuk memendekkan tempoh berkenaan tanpa menjejaskan prosedur keselamatan.
Menurutnya, usaha itu turut mengambil kira pelbagai ujian yang telah dijalankan terhadap tren sebelum dihantar ke Malaysia, termasuk ujian di kilang pengeluar di China.
SIT ECRL yang bermula bulan ini akan menguji integrasi pelbagai sistem, termasuk sistem elektrik dan isyarat, sebelum FFR dilaksanakan pada September.
Beliau berkata set tren pertama dan E-Loco masing-masing perlu menjalani FFR sejauh 8,000 kilometer di bawah kawal selia APAD bagi memastikan aspek keselamatan dan kebolehpercayaan operasi memenuhi piawaian serta keperluan undang-undang.
“FFR merupakan antara proses penting sebelum operasi komersial kerana tren akan bergerak di landasan dalam keadaan sebenar, namun tidak membawa penumpang,” katanya.
Anthony menegaskan semua ujian terdahulu perlu diselesaikan dan mendapat kelulusan sebelum FFR dilaksanakan, justeru usaha mempercepatkan tempoh berkenaan tidak bermakna mana-mana prosedur keselamatan akan diketepikan.
Sementara itu, beliau berkata, kemajuan keseluruhan projek ECRL Fasa 1 yang menghubungkan Kota Bharu dan Gombak telah mencapai 95.08 peratus setakat Julai.
Fasa 2 yang menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang pula dijangka siap pada Disember 2027, dengan operasi dijadualkan bermula pada Januari 2028.





