
KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) ketika ini tidak melihat keperluan untuk menyemak unjuran pertumbuhan ekonomi dan sebarang perubahan lazimnya akan dibuat ketika pengumuman belanjawan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia ketika ini juga bersifat lebih menyeluruh dan tidak hanya bergantung kepada kitaran pelaburan global dalam kecerdasan buatan (AI) serta semikonduktor.
Menurut beliau, permintaan domestik kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, selain sokongan kukuh daripada sektor luaran pada suku kedua dan suku sebelumnya.
“Dalam sektor eksport sendiri, sokongan kepada ekonomi juga datang daripada pelbagai segmen dan bersifat menyeluruh.
“Kita melihat kedua-dua sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta bukan E&E berkembang, selain peningkatan dalam sektor perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya pada Taklimat Media Prestasi KDNK Suku Kedua 2026, pada Jumaat yang turut dihadiri Ketua Perangkawan, Siti Asiah Ahmad.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkara, momentum pertumbuhan juga dijangka terus disokong oleh beberapa pemacu utama termasuk penggunaan, pelaburan, eksport dan pelancongan pada separuh kedua tahun ini.
Bagaimanapun katanya, risiko daripada ketidaktentuan ekonomi global dan konflik geopolitik masih perlu diberi perhatian kerana perkembangan berkenaan boleh mempengaruhi prestasi pertumbuhan.
“Pertumbuhan pada separuh kedua tahun lalu yang kukuh pada 5.4 peratus juga mewujudkan kesan asas yang tinggi terhadap pertumbuhan pada separuh kedua tahun ini.
“Walaupun begitu, kami yakin pertumbuhan bagi keseluruhan tahun ini akan berada dalam julat yang kami unjurkan dan kemungkinan besar sekitar 5.0 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, perbezaan antara anggaran awal KDNK dengan angka sebenar berlaku kerana anggaran awal dibuat berdasarkan maklumat yang tersedia pada peringkat awal, manakala angka akhir menggunakan data lebih menyeluruh daripada ribuan tinjauan serta maklumat agensi berkaitan.
Bagi suku kedua tahun ini, anggaran KDNK sebelum ini berubah daripada 5.6 peratus kepada 5.8 peratus dan seterusnya 6.0 peratus, terutama disebabkan prestasi sektor perkhidmatan termasuk kenderaan bermotor, kewangan dan pendidikan.
“Anggaran awal adalah petunjuk kepada pembuat dasar dan orang ramai untuk melihat prestasi ekonomi lebih awal, manakala angka sebenar berdasarkan data yang lebih komprehensif bagi tempoh tiga bulan suku berkenaan,” katanya.






