
KUCHING – Penganjuran program Harmony Walk 2026 yang dijadualkan berlangsung di Tebingan Sungai Kuching pada Sabtu ini terpaksa ditangguhkan susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara yang melanda bandar raya ini.
Pihak penganjur menerusi satu kenyataan memaklumkan, keputusan penangguhan ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga demi menjamin keselamatan orang awam.
Menurut kenyataan tersebut, keutamaan pihak penganjur pada masa ini adalah bagi melindungi tahap kesihatan dan kesejahteraan kesemua peserta, pihak urus setia serta rakan strategik yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
“Kami memahami bahawa ramai yang telah membuat persiapan dan begitu teruja untuk bersama-sama melangkah dalam semangat keharmonian ini.
“Justeru, kami memohon maaf atas segala kesulitan dan kekecewaan yang mungkin timbul akibat penangguhan ini,” jelas kenyataan tersebut pada Rabu.
Dalam pada itu, pihak penganjur memberi jaminan bahawa acara kemuncak Harmony Walk 2026 akan tetap diteruskan dan tarikh baharu akan dimaklumkan melalui kesemua platform media rasmi mereka.
Penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesabaran, kefahaman dan sokongan berterusan yang diberikan oleh para peserta.
“Keselamatan anda sentiasa menjadi keutamaan kami dan nantikan perkembangan terkini daripada pihak kami dari semasa ke semasa,” tambah kenyataan itu.






