
IPOH – Inisiatif pembelian pakaian seragam sekolah secara ansuran menerusi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Mahir Jahit (NMJ) menjadi perhatian masyarakat sejak dua hari lalu, susulan kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung pelaksanaan program berkenaan.
Fadhlina sebelum ini menjelaskan, inisiatif itu bukan sahaja membuka peluang menjana pendapatan dan memperkasakan usahawan tempatan yang dibimbing menerusi NADI, malah membantu meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak.
Bagaimanapun, kenyataan berkenaan turut mencetuskan pelbagai reaksi apabila ada pihak berpandangan kerajaan sepatutnya menyediakan pakaian seragam sekolah secara percuma, bukannya memperkenalkan kaedah pembelian secara ansuran yang didakwa seolah-olah menggalakkan rakyat berhutang.
Di sebalik polemik itu, terdapat juga ibu bapa yang melihat inisiatif NMJ daripada sudut berbeza, khususnya sebagai satu bentuk sokongan ekonomi sesama rakyat.
Seorang ibu, Nur Suria Kamal, 34, berkata program berkenaan wajar dilihat sebagai inisiatif ‘daripada rakyat kepada rakyat’ kerana pada masa sama memberi peluang kepada masyarakat menjana pendapatan melalui kemahiran yang dimiliki.
Menurutnya, pembelian pakaian seragam menerusi NMJ juga tidak bersifat paksaan kerana ibu bapa diberikan pilihan sama ada membuat bayaran secara penuh atau ansuran.
“Bagi saya, ini sebahagian inisiatif Kerajaan MADANI yang dibuat menerusi program NADI dalam memberi ruang kepada kita sebagai rakyat untuk turut sama membantu ekonomi rakyat.
“Bahkan rakyat tidak dipaksa untuk membayar ansuran, tetapi diberi pilihan sama ada bayar terus atau ansuran.
“Tidak salah kita menghargai kemahiran yang diperolehi dan tidak perlu dijadikan isu,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Isnin.

Sementara itu, tinjauan terhadap reaksi pengguna di media sosial mendapati terdapat ibu bapa yang menyokong pelaksanaan NMJ kerana melihatnya sebagai peluang kepada komuniti setempat menjana pendapatan, selain menyediakan pilihan pembelian pakaian seragam kepada keluarga.
Seorang bapa, Azhar Ismail pula berpandangan, NMJ merupakan inisiatif NADI dan bukannya program Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), justeru perkara itu perlu difahami sebelum sebarang kritikan dilemparkan terhadap kementerian atau menterinya.
“Ini lagi satu perkara yang mungkin elok dijelaskan sebelum Menteri Pendidikan kena marah untuk benda yang bukan program kementeriannya.
“Baju sekolah NADI sebenarnya datang daripada program NMJ yang setakat ini sudah melibatkan lebih 2,000 peserta yang rata-rata pesertanya ialah suri rumah dan ibu tunggal.
“Alumni Mahir Jahit diberi peluang menjahit dan menjana pendapatan. Ibu bapa pula boleh mendapatkan pakaian sekolah pada harga lebih mampu milik,” katanya.
Menurut Azhar, pendekatan itu secara tidak langsung mewujudkan situasi saling membantu apabila peserta program memperoleh pendapatan melalui kemahiran menjahit, manakala ibu bapa pula mendapat pilihan pakaian seragam pada harga lebih berpatutan serta kaedah bayaran yang lebih fleksibel.
“Yang menjahit dapat duit, yang membeli dapat baju, yang menuduh tanpa usul periksa, dapat dosa,” katanya.






