
KUCHING – Kontinjen Sarawak diseru mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor, sekali gus membuktikan kemampuan sebenar atlet negeri itu di luar halaman sendiri.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, anak Sarawak pantang dicabar dan mereka perlu mempamerkan aksi terbaik untuk memenangi setiap acara yang dipertandingkan.
Beliau merujuk kepada cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang mengaitkan kemenangan Sarawak pada SUKMA 2024 dengan kelebihan sebagai tuan rumah.
“Saya ingat lagi kata Perdana Menteri yang menyatakan ini tempat kita, sebab itu kita boleh jadi juara dan beliau mahu melihat apa yang akan berlaku di Selangor.
“Anak Sarawak jangan dicabar, saya percaya apabila kita ke Selangor kelak, kita datang untuk menang, bukan untuk kalah (I come here to win. Not to lose),” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan bendera kontinjen Sarawak ke ke SUKMA dan Para SUKMA pada Isnin.

Dalam pada itu, Abang Johari turut meletakkan tanda aras yang tinggi dengan menyasarkan mutu sukan Sarawak setanding dengan prestasi negara New Zealand.
Menurut beliau, walaupun negara berkenaan mempunyai populasi yang kecil, mereka berjaya melahirkan ramai juara di peringkat Sukan Olimpik.
Menyedari hakikat itu, kerajaan Sarawak komited untuk terus menaik taraf kemudahan sukan sedia ada bagi menyokong pembangunan kemahiran atlet.
Ini termasuk kelulusan pembinaan velodrom baharu bagi persediaan sukan berbasikal negeri pada masa hadapan.
Menyentuh soal logistik ke temasya tersebut kelak, beliau memberi bayangan bahawa kontinjen negeri berkemungkinan besar akan diterbangkan menggunakan pesawat dari syarikat penerbangan AirBorneo milik kerajaan Sarawak.
Berhubung soal ganjaran pula, Abang Johari menasihatkan para atlet agar kekal fokus kepada perlawanan dan menyerahkan urusan insentif kepada pihak kerajaan negeri.
“Lupakan dahulu soal insentif, kelak kami akan uruskan kerana Sarawak sentiasa mempunyai kedudukan yang kukuh. Fokus kepada perlawanan agar prestasi tidak terjejas, bersedia dengan baik dan pulang semula sebagai juara,” tegasnya.
Majlis penyerahan bendera Ibu Pertiwi itu turut dihadiri Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah; dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut hadir, Ketua Kontinjen (CDM) SUKMA, Datuk Gerald Rentap Jabu; CDM Para SUKMA, Datuk Mohammad Razi Sitam; dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak, Mu’azamir Jili.






