Laporan RCI Tabung Haji bukti wujud ‘pengkhianat’ Melayu Islam

PUTRAJAYA – Kelemahan pengurusan Tabung Haji (TH) antara 2014 hingga 2017 menerusi pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mencetuskan persoalan besar mengenai sejauh mana amanah terhadap kepentingan masyarakat Melayu-Islam benar-benar dipelihara ketika institusi itu berada di bawah pentadbiran kerajaan ketika itu.

Penganalisis sosiopolitik dan keselamatan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, dapatan laporan itu perlu dilihat dari sudut amanah politik dan moral kerana pendeposit bukan sekadar menyerahkan wang kepada sebuah institusi kewangan, sebaliknya mengumpul simpanan bertahun-tahun untuk menunaikan ibadah haji.

Oleh sebab itu, beliau berpendapat, kelompangan mengurus wang tersebut dengan tahap integriti yang tinggi bukan hanya boleh dianggap sebagai kegagalan korporat namun kerapuhan melaksanakan amanah terhadap masyarakat Islam.

“Dari sudut amanah politik dan moral, persoalan mengenai pengkhianatan terhadap kepercayaan pendeposit memang wajar dibangkitkan secara serius kerana orang Islam yang menjadi pendeposit Tabung Haji sangat mempercayai insitusi itu dalam menjaga kewangan mereka dalam melaksanakan Rukun Islam kelima itu.

“Lebih-lebih lagi apabila institusi tersebut menggunakan identiti dan legitimasi agama untuk membina kepercayaan masyarakat. Semakin tinggi kepercayaan yang diberikan, semakin tinggi juga tanggungjawab untuk memastikan amanah tersebut tidak disalahgunakan,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin menegaskan, standard akauntabiliti terhadap institusi yang diwujudkan untuk kepentingan Melayu-Islam sepatutnya lebih tinggi sekiranya kerajaan ketika itu menggunakan naratif sebagai pembela masyarakat.

Menurutnya, pembelaan terhadap Melayu dan Islam tidak seharusnya terhenti pada retorik identiti, simbol agama atau slogan politik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pengurusan institusi yang benar-benar menjaga kepentingan ekonomi dan kebajikan masyarakat.

“Jika berlaku kelemahan, penyokong kerajaan tidak sepatutnya mempertahankan kesalahan semata-mata kerana pelakunya daripada kelompok yang sama. Sebaliknya, mereka sepatutnya menjadi kelompok pertama yang menuntut siasatan, ketelusan dan pertanggungjawaban.

“Jika tidak, politik identiti boleh berubah daripada instrumen untuk memperjuangkan kepentingan rakyat kepada mekanisme melindungi elit daripada kritikan dan akauntabiliti,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin berpandangan, keperluan untuk masyarakat membezakan antara mempertahankan kepentingan orang Melayu dengan mempertahankan kepentingan elit Melayu kerana kedua-duanya tidak semestinya perkara yang sama.

Jelasya, kritikan terhadap kelemahan pengurusan institusi Melayu-Islam juga tidak seharusnya dilabel sebagai tindakan anti-Melayu atau anti-Islam kerana tuntutan terhadap ketelusan dan akauntabiliti adalah sebahagian daripada usaha mempertahankan kepentingan masyarakat itu sendiri.

“Ini persoalan paling kritikal perlu dibawa keluar dari isu Tabung Haji. Siapa sebenarnya kita pertahankan, kepentingan orang Melayu atau kepentingan elit Melayu? Keduanya tidak sama. Mempertahankan institusi Melayu-Islam tidak bermaksud mempertahan setiap individu Melayu yang mengurus institusi itu.

“Sebaliknya, mempertahankan institusi bermaksud memastikan sesiapa sahaja yang diberi amanah menguruskannya, tanpa mengira parti, kedudukan atau latar belakang, tertakluk kepada standard integriti dan akauntabiliti yang sama. Membela umat bukan bermaksud menutup kesalahan orang sendiri.

“Membela umat bermaksud pastikan tiada sesiapa, walaupun ada kuasa, kedudukan, bangsa atau simbol agama, boleh guna amanah umat untuk kepentingan tertentu. Prinsipnya mudah, amanah tidak mengenal parti, bangsa atau kedudukan. Amanah hanya mengenal tanggungjawab,” katanya.

Beliau menegaskan, kelompangan yang terdedah dalam laporan itu bukan sebagai pertarungan antara ‘Melayu melawan bukan Melayu, Islam melawan bukan Islam’ atau kerajaan lama melawan kerajaan baharu, namun kuasa melawan akauntabiliti.

Nur Ashikin berkata, pengajaran paling penting adalah institusi yang mengurus wang rakyat mesti mempunyai autonomi profesional, mekanisme pengawasan berkesan, ketelusan kewangan dan pertanggungjawaban tidak boleh dikompromi atas nama politik, bangsa atau agama.

“Apabila kuasa politik terlalu dekat dengan institusi amanah, risiko conflict of interest, patronage dan elite capture akan meningkat. Jika benar mahu membela orang Melayu-Islam, maka pembelaan itu tidak sepatutnya diukur berdasarkan berapa banyak slogan tentang Melayu dan Islam yang dilaungkan.

“Ia mesti diukur berdasarkan sejauh mana wang, hak dan kepentingan orang Melayu-Islam benar-benar dilindungi. Dalam konteks Tabung Haji, amanah tersebut adalah milik pendeposit, bukan milik mana-mana parti politik atau kelompok elit.

“Maka, sesiapa sahaja yang gagal menjaga amanah itu perlu dipersoalkan dan, jika terdapat bukti kesalahan, perlu dipertanggungjawabkan melalui saluran undang-undang tanpa mengira siapa mereka.

“Kesimpulannya, kritikan terhadap kegagalan kerajaan atau pengurusan Melayu dalam mengurus institusi Melayu-Islam bukanlah satu bentuk anti-Melayu atau anti-Islam. Sebaliknya, ia boleh menjadi bentuk pembelaan yang paling jujur terhadap masyarakat Melayu-Islam,” katanya.

Related Posts

Langkah Jiwa Merdeka KMJG dekati masyarakat, semarak patriotisme

BEAUFORT – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) tampil dengan pendekatan baharu menerusi aktiviti berjalan kaki pada program Langkah Jiwa Merdeka bagi mendekati masyarakat dan menyemarakkan semangat patriotisme sempena Bulan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan gesa tolak politik fitnah, perpecahan

KOTA BHARU – Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan menggesa umat Islam menolak politik berasaskan fitnah, ketakutan dan perpecahan, khususnya kenyataan yang boleh menimbulkan prasangka terhadap sesuatu kelompok. Pengerusinya, Baba Zulkarnain Harun berkata,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lebih 115,000 pengunjung, Sarikei cipta rekod baharu Program Sarawakku Sayang

Lebih 115,000 pengunjung, Sarikei cipta rekod baharu Program Sarawakku Sayang

Jururawat tunjang utama sistem kesihatan negara

Jururawat tunjang utama sistem kesihatan negara

Langkah Jiwa Merdeka KMJG dekati masyarakat, semarak patriotisme

Langkah Jiwa Merdeka KMJG dekati masyarakat, semarak patriotisme

Setiap projek Rumah Selangorku wajib sedia hentian bas

Setiap projek Rumah Selangorku wajib sedia hentian bas

Laporan RCI Tabung Haji bukti wujud ‘pengkhianat’ Melayu Islam

Laporan RCI Tabung Haji bukti wujud ‘pengkhianat’ Melayu Islam

Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan gesa tolak politik fitnah, perpecahan

Kesatuan Pondok-Pondok Kelantan gesa tolak politik fitnah, perpecahan