
KUALA KANGSAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan pendirian Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2021, sedangkan rundingan pembahagian kerusi dengan parti lain masih belum dimuktamadkan.
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, pendirian yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, itu tidak mencerminkan keikhlasan dalam proses rundingan, terutama apabila keputusan mengenai kerusi sudah dinyatakan terlebih dahulu.
Katanya, rundingan sepatutnya berlangsung tanpa sebarang syarat awal bagi memastikan semua pihak dapat mencapai persetujuan secara adil.
“Kalau sebut runding maksudnya rundinglah dahulu, jangan buat keputusan dulu. Ini kalau keputusan sudah ada kemudian ajak orang runding itu seolah-olah menggambarkan kita tak ikhlas dalam berunding.
“Tiada kejujuran politik. Sepatutnya dia tak boleh kenakan sebarang syarat sebelum kata nak berunding. Kalau kita nak berunding tunjukkan dahulu keikhlasan kita dalam berunding,” katanya.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, demikian ketika ditemui selepas program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) peringkat negeri Perak Tahun 2026 di sini petang semalam.
Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan mahu BN mempertahankan 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang dimenangi parti itu pada PRN 2021.
Bagaimanapun, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dilaporkan berkata, Perikatan Nasional (PN) dan BN masih dalam proses rundingan berhubung pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN Melaka.
Dalam pada itu, Muhammad Kamil berkata, AMK Melaka sudah diarahkan untuk meneruskan persiapan pilihan raya tanpa menunggu keputusan rundingan antara gabungan terbabit.
“Perbincangan dengan blok-blok yang lain tidak dalam pengetahuan saya, tetapi kita tidak boleh tolak sebarang kemungkinan. Apa pun kita harus sediakan jentera kita terlebih dahulu tanpa berharap kepada kelemahan ataupun kelebihan mana-mana pihak lain,” katanya.
Sementara itu, mengulas peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR, beliau berkata, perkara berkenaan tidak seharusnya menjadi beban kepada parti dalam menghadapi PRN Melaka.
Muhammad Kamil berkata, penjelasan pucuk pimpinan PKR dan Nurul Izzah sendiri sudah memadai, manakala AMK akan terus turun ke akar umbi bagi memberikan penerangan lanjut kepada anggota parti.
Beliau berkata, perkara lebih penting ketika ini ialah isu kebajikan rakyat yang meliputi kos sara hidup, harga barang dan kemudahan prasarana.
Katanya, rakyat juga perlu menilai kemampuan pemimpin menyelesaikan masalah berkenaan, bukannya terpengaruh dengan politik ketakutan yang menggunakan isu Melayu dan Islam.
“Ini yang sepatutnya wajar menjadi perhatian rakyat dalam membuat penilaian pemimpin mana yang kita nak angkat dan mampu untuk menyelesaikannya. Tetapi malangnya yang berlaku ialah politik menakut-nakutkan orang Melayu, dan Islam.
“Bukan untuk nak selamatkan negara tetapi untuk meraih sedikit keuntungan, kemenangan politik. Sepatutnya ruang ini digunakan sebaiknya untuk kita tawarkan apa yang kita ingin kita berikan kepada rakyat dan masyarakat,” katanya.




