PRU tidak dalam masa terdekat, Kerajaan Perpaduan kekal hingga akhir penggal – Fahmi

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum (PRU) tidak dijangka diadakan dalam masa terdekat berikutan Kerajaan Perpaduan kekal komited meneruskan pentadbiran sehingga tamat penggal.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, PRU boleh diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan, justeru tumpuan kerajaan ketika ini adalah menyelesaikan masalah rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata, semua rakan komponen Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan turut memberikan komitmen untuk terus menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal.

“PRU boleh diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan. Fokus Kerajaan dan kita dah dengar komitmen daripada rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan bahawa mereka akan kekal dengan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal,” katanya.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian selepas merasmikan siri ketiga Kempen Internet Selamat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, tempoh yang masih ada sebelum penggal berakhir perlu dimanfaatkan kerajaan untuk memberi tumpuan kepada agenda pembangunan serta kebajikan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, beliau tidak mempunyai maklumat berhubung desas-desus Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, akan meletakkan jawatan dan masih menunggu kenyataan rasmi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sebelum ini, Wong Chen memuat naik kepala surat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang yang dialamatkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut dinyatakan, sebaliknya Wong Chen yang sudah tiga penggal mempertahankan kerusi Parlimen Subang memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media Isnin ini berhubung surat berkenaan dan pertemuannya dengan Johari.

“Pagi ini (Khamis) saya mengadakan pertemuan panjang dengan Tan Sri Johari. Kami sepatutnya bertemu selama 30 minit, tetapi akhirnya berbincang hingga sejam setengah.

“Apa yang penting saya sudah menyerahkan surat saya kepadanya dan akan mengeluarkan kenyataan media, Isnin ini,” katanya.

Wong Chen sebelum ini dilaporkan antara Ahli Parlimen yang hadir pada program pengumuman hala tuju politik bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan pengambilalihan parti.

Sementara itu, mengulas desas-desus mengenai kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan, Fahmi berkata kerajaan tidak mahu mendahului keputusan yang bakal dibuat perwakilan parti berkenaan.

Katanya, setiap parti mempunyai hak menentukan pendirian masing-masing melalui proses demokrasi dalaman.

“Itu hak mereka. Saya tak boleh mendahului apa-apa yang ingin diputuskan oleh perwakilan. Tapi kita lihat komitmen rakan-rakan dalam sama ada Pakatan Harapan ataupun Kerajaan Perpaduan umumnya adalah untuk meneruskan usaha memperbaiki keadaan.

“Dalam demokrasi kita duduk, kita bincang, kita teliti apa keutamaan yang perlu kita berikan. Keutamaan adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat, ekonomi, dan juga pastikan ekonomi rakyat, ekonomi poket rakyat itu menjadi fokus,” jelasnya.

Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memaklumkan parti itu akan menentukan kedudukannya dalam Kerajaan Persekutuan pada Persidangan Kebangsaan DAP yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini.

Satu usul berhubung perkara itu akan dibentangkan kepada perwakilan sebelum diputuskan oleh hampir 4,000 perwakilan yang layak menghadiri persidangan berkenaan.

Anthony turut menegaskan keputusan itu tidak akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada perwakilan melalui undian sulit.

Related Posts

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

KOTA KINABALU – Ketika kanak-kanak lain seusianya bebas bermain tanpa memikirkan apa-apa, satu kejadian ketika berusia empat tahun mengubah kehidupan Nurhadrieyana Paiman.‎‎Insiden tercucuk pensil menyebabkan penglihatan mata kirinya terjejas, sekali…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjelaskan mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) bukan caj tambahan baharu atau sumber keuntungan syarikat, sebaliknya mekanisme dua hala bagi melaraskan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Sebelah mata tidak melihat, impian Nurhadrieyana tetap terang

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Bil elektrik naik? TNB jelaskan mekanisme AFA dan faktor penggunaan

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang

Hari Malaysia medan muhasabah nasional, bina masyarakat matang

Jika benar-benar kuat, UMNO perlu bertanding solo di Melaka – Tajuddin

Jika benar-benar kuat, UMNO perlu bertanding solo di Melaka – Tajuddin

Malaysia-Maldives perluas kerjasama pertahanan, hal ehwal Islam – PM

Malaysia-Maldives perluas kerjasama pertahanan, hal ehwal Islam – PM

Malaysia beri lampu hijau prinsip kemudahan AS$100 juta untuk Maldives – PM

Malaysia beri lampu hijau prinsip kemudahan AS$100 juta untuk Maldives – PM