
KOTA KINABALU – Polis Daerah Kota Kinabalu berjaya menumpaskan satu kumpulan jenayah dikenali sebagai ‘Geng Andy’ yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan mencuri rim kenderaan di sekitar daerah ini menerusi beberapa siri serbuan yang dilaksanakan pada 30 Julai lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, seramai empat lelaki tempatan berjaya ditahan bagi membantu siasatan sekali gus menumpaskan kumpulan yang aktif melakukan jenayah berkenaan.
Beliau berkata, kejayaan operasi ini turut menyelesaikan 10 kes kecurian rim kenderaan yang dilaporkan di sekitar Tanjung Aru, Luyang, Karamunsing, Menggatal dan Inanam dalam daerah Kota Kinabalu.
“Serbuan pertama dijalankan di Kampung Meruntum, Putatan dan hasil serbuan tersebut, polis menahan seorang lelaki tempatan serta merampas sebuah kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah itu.
“Serbuan kedua pula dilakukan di PPR Taman Sri Keramat, Kampung Ketiau, Jalan Ketiau, yang membawa kepada penahanan dua lagi lelaki tempatan,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, dalam serbuan itu polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan mencuri rim kenderaan.
“Polis turut menjalankan serbuan di premis logam, Kampung Buit Hill, Jalan Datuk Darius, Penampang dan berjaya menahan seorang lagi lelaki yang dipercayai bertindak sebagai pembeli rim yang dicuri.
“Dalam serbuan itu juga, polis merampas sebuah kenderaan, enam keping resit pembayaran serta 21 unit rim daripada pelbagai jenis kenderaan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan kumpulan tersebut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM20,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, kesemua empat lelaki yang ditahan merupakan warga tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau termasuk rekod berkaitan kes dadah.





