TAWAU – Operasi Joint Task Force (JTF) Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sabah berjaya merekodkan dua tangkapan dan rampasan besar melibatkan pelbagai jenis barang seludup termasuk barangan kawalan bersubsidi serta rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai RM662,088.26.
Pengarahnya, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman berkata, kes pertama dan kedua berlaku di Tawau dengan nilai keseluruhan rampasan barangan kawalan dan rokok termasuk cukai dianggarkan RM425,458.02.
“Kes pertama pada 27 Julai lalu kira-kira pukul 6.30 petang di sebuah jeti tidak diwartakan melibatkan pemeriksaan terhadap enam pengangkut termasuk kenderaan dan bot.
“Hasil pemeriksaan menemui 1,100 kilogram beras superimport, minyak masak paket (1,105kg), gula pasir (690kg), 50 tong gas 14kg serta pelbagai barangan runcit tempatan dan dipercayai dari negara jiran.
“Modus operandi adalah membawa keluar dan masuk barangan kawalan tanpa prosedur sah melalui jeti tidak diwartakan,” katanya dalam sidang media di Pejabat JKDM Tawau, pada Selasa.

Beliau berkata, kes kedua adalah pada 29 Julai kira-kira pukul 8.30 malam di perairan Kampung Hidayat melibatkan dua bot yang dikesan memindahkan barang.
Katanya, sebuah bot dikesan melarikan dir ke arah Pulau Sebatik manakala sebuah lagi ditinggalkan.
“Pemeriksaan ke atas bot ditinggalkan menemukan 49,600 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM73,859.20 termasuk cukai.
“Sindiket dipercayai menggunakan bot laju untuk membawa masuk rokok sebelum dipindahkan ke bot kecil untuk didaratkan di kawasan perkampungan air, ” ujarnya.

Sementara itu, katanya, kes ketiga pada 10 Julai kira-kira pukul 1 petang menyaksikan pasukan Kastam Kudat berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok tidak berkastam di sebuah stor tidak bernombor di Kampung Ranau, Kota Marudu.
“Sebanyak 116,320 batang rokok pelbagai jenama dirampas dengan nilai RM106,170.24 termasuk cukai dengan modus operandi adalah menjadikan stor sebagai lokasi transit sebelum diedarkan ke pasaran tempatan, ” tambahnya.
Manakala bagi kes keempat dan kelima, Taufik berkata, masing-masing berlaku pada 27 dan 23 Julai di Kimanis, Papar dan Simpang Beluran Jalan Sandakan-Ranau.
“Kes di Papar enyaksikan rampasan 80,000 batang rokok putih bernilai RM85,360 di sebuah stor bangunan terbiar yang dijadikan lokasi transit, manakala di Sandakan melibatkan rampasan 50,000 batang rokok pelbagai jenama bernilai RM45,100 selepas ditinggalkan di tepi jalan oleh pemandu yang melarikan diri ketika sekatan dijalankan.
“Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen berkaitan iaitu Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, Seksyen 135(1) (e) dan Seksyen 135(1)(d) akta yang sama,” katanya.
Difahamkan, dua lelaki tempatan anggaran umur 40-an kini ditahan untuk membantu siasatan bagi kes yang berlaku di Tawau.
Mengulas lanjut, Taufik berkata, JTF 2026 yang bermula sejak 13 Julai hingga 14 Ogos hadapan itu merupakan kerjasama antara Bea Cukai Indonesia dan pihaknya bagi membanteras penyeludupan di kawasan masing-masing.
“Cuma pelaksanaannya untuk kali ini kita laksanakan di kawasan kita, dia (Bea Cukai) laksanakan di kawasan Indonesia.
“Setakat ini, sebanyak 120 pemeriksaan telah kita lakukan sepanjang operasi ini di Sabah dan masih berjalan, ” jelasnya.




