
LIMBANG – Pesta Makan Tahun Kedayan Edisi Ke-10 bukan sekadar menjadi platform meraikan warisan budaya masyarakat Kedayan, malah membuktikan semangat perpaduan dan kesepakatan komuniti itu terus utuh dalam mendepani arus pembangunan.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, penganjuran pesta yang memasuki edisi ke-10 pada tahun ini menjadi bukti kukuh bahawa adat dan tradisi masyarakat Kedayan terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Menurutnya, program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara generasi muda dan golongan tua, malah turut menjadi wadah menyatukan masyarakat pelbagai kaum di Limbang selaras dengan semangat perpaduan yang menjadi teras pembangunan Sarawak.

“Acara ini bukan hanya milik masyarakat Kedayan, tetapi turut diraikan bersama masyarakat berbilang kaum, sekali gus mencerminkan keharmonian yang menjadi kekuatan negeri Sarawak,” katanya sempena Malam Kebudayaan Pesta Makan Tahun Kedayan Limbang Edisi 2026 di Kampung Nauran.
Beliau turut mengumumkan bahawa Persatuan Kedayan Limbang (PKL) bakal memiliki sebuah bangunan baharu yang dianggarkan bernilai RM25 juta, dengan hampir RM6 juta peruntukan awal telah diluluskan bagi memulakan pelaksanaan projek tersebut.
Katanya, bangunan yang akan dibina berhampiran Stadium Tertutup Limbang itu bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu PKL, malah akan dimanfaatkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan masyarakat setempat bagi menganjurkan pelbagai aktiviti serta program komuniti.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan sebanyak RM35,000 diperuntukkan bagi menjayakan Pesta Makan Tahun Kedayan 2026 sebagai tanda komitmen kerajaan dalam memelihara warisan budaya masyarakat Kedayan.
Hasbi berkata, kerajaan turut meneruskan pelbagai inisiatif pembangunan di Limbang termasuk menaik taraf jalan kampung, penyediaan bekalan air bersih, elektrik luar bandar serta memperkukuh peluang ekonomi kepada usahawan kecil melalui pelbagai program pembangunan.
Beliau turut memaklumkan kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM13.8 juta bagi melaksanakan projek tebatan banjir di Lembangan Sungai Limbang yang merangkumi kerja menaik taraf sistem perparitan di Taman Bunga Simpor, pembersihan dan pendalaman Sungai Nauran serta pembinaan tambak tanah bagi mengurangkan risiko banjir yang sering melanda kawasan berkenaan.
Mengulas aspek pendidikan, beliau menyeru ibu bapa supaya terus memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak kerana ia menjadi asas melahirkan generasi Kedayan yang berdaya saing, selain memanfaatkan pelbagai bantuan pendidikan dan peluang biasiswa yang disediakan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau berkata hasil kajian kerjasama antara Persatuan Kedayan Limbang dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpotensi menjadi bahan rujukan penting bagi memperkasa pelancongan budaya serta mempromosikan warisan masyarakat Kedayan pada masa hadapan.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memastikan pembangunan sosioekonomi di kawasan luar bandar termasuk komuniti Kedayan dilaksanakan secara menyeluruh agar tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negeri.







