
MUKAH – Pengurusan institusi masjid di seluruh Sarawak kini melangkah ke era baharu menerusi pengenalan MISPRO, aplikasi pengurusan digital yang dibangunkan khas untuk tadbir urus rumah ibadat.
Aplikasi berteknologi tinggi itu telah dilancarkan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jumaat.
Projek digital berimpak tinggi berkenaan dijayakan menerusi kerjasama strategik antara Majlis Islam Sarawak (MIS), syarikat HPCS Sdn Bhd dengan Affin Islamic Bank Berhad.
Pelancaran aplikasi tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian utama Program Ziarah Mahabbah anjuran MIS yang diadakan secara inklusif membabitkan pelbagai lapisan masyarakat setempat.
Menurut kenyataan MIS, program jelajah itu bertujuan untuk menyampaikan hala tuju serta dasar pembangunan ummah agar sentiasa selari dengan gagasan kerajaan negeri.
Jelasnya, inisiatif turun padang tersebut turut membolehkan pihaknya mengenal pasti isu, cabaran, dan keperluan sebenar penduduk demi merangka tindakan susulan yang berkesan.
“Pihak MIS amat berharap agar inisiatif murni ini dapat mendekatkan lagi agensi-agensi Islam kepada masyarakat.
“Ia sekali gus memastikan umat Islam di seluruh Sarawak menikmati akses perkhidmatan yang lebih mudah dan efisien,” jelas kenyataan tersebut.

Sepanjang dua hari program berlangsung, pelbagai pengisian menarik telah disediakan kepada pengunjung termasuk slot Pesan Mufti, Forum Keluarga, dan Eksplorasi Inovasi (STEM).
Para peserta turut berpeluang mengunjungi Pameran Perkhidmatan Agensi Islam, Pameran Pendidikan Mini, serta menyertai penganjuran Program Aura Wanita.
Lebih mencuri tumpuan, suasana program turut dimeriahkan dengan demonstrasi masakan tradisi masyarakat Melanau yang dikendalikan oleh cef selebriti terkenal, Chef Muluk.
Selepas Mukah, siri jelajah Program Ziarah Mahabbah dijadualkan meneruskan siri penjelajahannya ke Zon Tengah meliputi Sibu, Sarikei, dan Betong, serta disusuli ke Zon Utara dalam masa terdekat.







