
SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji mengesyorkan supaya bonus berjumlah RM2.19 juta yang dibayar kepada beberapa pengarah dan pegawai terpilih TH Properties Sdn Bhd dituntut semula selepas mendapati bayaran itu diluluskan tanpa mematuhi prosedur undang-undang yang ditetapkan.
Dalam laporan setebal 252 muka surat yang dikeluarkan malam tadi, RCI berkata pembayaran bonus oleh TH Properties pada 2017 dan 2018 melanggar peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016 kerana tidak memperoleh kelulusan serta resolusi pemegang saham yang diperlukan.
Suruhanjaya itu berkata ia bersetuju dengan pandangan undang-undang yang diberikan firma guaman MD Tajuddin & Co bahawa pembayaran bonus pada 2017 oleh lembaga pengarah TH Properties melanggar Seksyen 230(2) dan 230(4) Akta Syarikat 2016, manakala pembayaran pada 2018 melanggar Seksyen 230(3) akta yang sama.
“Suruhanjaya telah meneliti dokumen dan minit mesyuarat berkaitan isu pembayaran bonus kepada anggota Lembaga dan kakitangan tertentu TH Properties.
“Bayaran bonus yang telah diberikan kepada anggota Lembaga TH Properties dan kakitangan tertentu pada tahun 2017 dan 2018 adalah atas alasan bahawa projek pembangunan di Australia terutamanya “The Bay Pavillion” telah memberikan sumbangan kewangan yang signifikan kepada TH Properties pada tahun 2016 dan 2017,” katanya.
Laporan itu menambah bahawa projek berkenaan didakwa menjana pulangan sebanyak AUD11.6 juta kepada TH Properties.
“Suruhanjaya mendapati beberapa orang terpilih telah diberikan bonus istimewa dengan jumlah sebanyak RM1,148,400 pada tahun 2017 dan RM1,045,000 pada tahun 2018.
“Dengan ini, Suruhanjaya mencadangkan supaya usaha dibuat bagi mendapatkan semula bonus yang telah diberikan kepada mereka yang terlibat, memandangkan bonus berkenaan diberikan tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan,” menurut laporan itu.
Menurut RCI, bonus tersebut diluluskan untuk 10 individu, terdiri daripada dua pengarah, dua bekas pengarah dan enam pegawai.
Semakan suruhanjaya turut mendapati kadar bonus yang diberikan kepada kakitangan Tabung Haji dari 2010 hingga 2017 adalah terlalu tinggi, iaitu antara dua hingga 13 bulan gaji, termasuk bonus tahunan dan bonus khas.
“Penelitian Suruhanjaya mendapati proses bayaran bonus melalui tiga peringkat kelulusan iaitu Lembaga, Menteri Hal Ehwal Agama dan MoF.
“Lazimnya Menteri Hal Ehwal Agama dan MoF hanya akan menerima cadangan pemberian bonus seperti yang disyorkan oleh Pengurusan LTH dan Lembaga.
“Ini termasuk ketika cadangan pemberian bonus luar biasa pada tahun 2014 pada kadar satu hingga sebelas bulan gaji bagi bonus tahunan dan dua bulan gaji bonus khas dengan jumlah keseluruhan boleh mencecah tiga belas bulan gaji yang melibatkan peruntukan sebanyak RM74 juta,” menurut laporan itu.
Laporan itu turut menyatakan bahawa Kementerian Kewangan menjelaskan kelulusan Menteri Kewangan bagi pembayaran bonus kepada kakitangan Tabung Haji melebihi dua bulan adalah tertakluk kepada pertimbangan dan budi bicara menteri.
Pertimbangan itu mengambil kira, antaranya, prestasi kewangan Tabung Haji, aktiviti operasi dan tanggungan kewangannya, prestasi pelaburan berbanding tahun-tahun sebelumnya, prestasi kakitangan dari segi produktiviti, serta implikasi kewangan yang timbul daripada pembayaran bonus.
Ia juga mengambil kira syor yang dikemukakan oleh lembaga pengarah dan Menteri Hal Ehwal Agama.
“Suruhanjaya berpendapat, mengambil kira isu kewangan yang dihadapi oleh LTH bermula pada tahun 2014 hingga 2017 di mana nilai aset adalah lebih rendah daripada lialibiliti seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangan tahunan dan diakui oleh JAN, ini membuktikan bahawa pemberian bonus dengan jumlah yang tinggi oleh LTH adalah tidak wajar,” menurut laporan itu.
Laporan itu menjelaskan bahawa pemberian bonus yang tinggi berlaku kerana Tabung Haji menilai asetnya berdasarkan Realisable Asset Value (RAV), yang menunjukkan institusi itu merekodkan keuntungan yang besar sepanjang tempoh berkenaan.
Bagaimanapun, suruhanjaya menyatakan bahawa mulai tahun kewangan 2018 hingga kini, pemberian bonus kepada kakitangan telah dikawal mengikut kemampuan kewangan Tabung Haji.





