
KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah memperuntukkan lebih RM100 juta bagi Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) tahun ini sebagai usaha memperkukuh pembangunan modal insan serta melahirkan lebih ramai tenaga mahir negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukan itu merangkumi tajaan kepada pelajar sedia ada dan penerima baharu tahun 2026 melibatkan 2,182 pelajar di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana.
“Sehingga kini seramai 13,389 pelajar telah menerima tajaan BKNS, sekali gus membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan kerana ia merupakan asas penting dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37, di sini, pada Khamis.
Tambahnya, kerajaan negeri turut menawarkan pelbagai skim biasiswa termasuk Biasiswa Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Biasiswa Perdana, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah serta Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar.
“Kerajaan juga menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan penerima anugerah berkenaan seramai 60 orang,” ujarnya.







