
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah memperluaskan peluang pendidikan dalam bidang penjagaan kesihatan apabila 30 anak Sabah akan dipilih mengikuti program pembangunan bakat hasil kerjasama strategik dengan Institut Jantung Negara (IJN) dan IJN University College.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, program itu melibatkan pengajian Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular.

“Inisiatif itu diwujudkan bagi memenuhi keperluan tenaga mahir sektor kesihatan di Sabah, selain membuka lebih banyak peluang latihan profesional kepada anak negeri dalam bidang kritikal.
“Seramai 15 anak Sabah sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di IJN University College menerusi Yayasan Sabah dan University College Sabah Foundation (UCSF),sekali gus memperluaskan akses kepada latihan kemahiran kesihatan yang berkualiti.
“Kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan lain bagi meringankan beban pelajar dan keluarga berdepan peningkatan kos pendidikan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37, di sini, pada Khamis.

Tambahnya, sejak diperkenalkan, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) telah memberi manfaat kepada 835 penerima dengan perbelanjaan keseluruhan RM141.29 juta,manakala Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada 2022 telah membantu 15,629 penerima membabitkan peruntukan melebihi RM25 juta.
“Selain itu, Majlis Ugama Islam Negeri Sabah (MUIS) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah terus menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian, termasuk bantuan yuran awal dan tiket penerbangan, dengan perbelanjaan berjumlah lebihRM12.7 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini”, kongsinya.
Dalam pada itu, beliau bekata, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) turut meneruskan 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI),Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

“Ia menunjukkan peningkatan prestasi pendidikan negeri sebagai petanda positif apabila keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya, sekali gus kali pertama Sabah merekodkanGPN di bawah paras 5.0,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pelajar terus mengekalkan kecemerlangan serta menerokai bidang strategik seperti minyak dan gas, tenaga, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta kecerdasan buatan (AI) yang menjadi pemacu pembangunan ekonomi masa depan negeri.






