JEMPOL – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G Manivanan meyakini terdapat perubahan sokongan di tiga FELDA yang sebelum ini dianggap antara ‘kawasan hitam’ mahupun kubu kuat kepada Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, penerimaan masyarakat di FELDA Palong 1, Palong 2 dan Bukit Rokan Barat menunjukkan perkembangan memberangsangkan walaupun kawasan itu sebelum ini dilabel sukar ditembusi oleh PH.
Menurutnya, kempen yang dimulakan sejak hampir tiga bulan lalu serta diperkasakan dengan sistematik selepas hari penamaan calon berjaya mengekalkan sokongan sedia ada di samping menarik lebih ramai pengundi baharu.
“Ketiga-tiga FELDA ni gerakan kita agak sama, seimbang. Saya sedang berusaha semampu yang saya boleh supaya saya dapat mendekati mereka, menyantuni mereka, dan sokongan pun agak menakjubkan. Pada awalnya tak sangka saya akan dapat penerimaan seperti sekarang sebab FELDA ini selalunya kita rasa dia takkan beri sokongan.
“Namun, di sini berbeza, dari tahun 1985 DUN Jeram Padang sudah ada dan masa tu memang MIC yang bertanding. Jadi pengundi di FELDA sini memang dah biasa menyokong masyarakat atau pemimpin yang berkaum India.
“Sehubungan itu, saya rasa benda itulah yang menyebabkan saya boleh mendekati dengan cara saya sendiri, menyantuni mereka dengan cara saya sendiri. Saya tak nampak perbezaan yang ketara. Sebab pengundi, khususnya peneroka FELDA, sudah biasa dengan mengundi seseorang daripada masyarakat India,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.
Sementara itu, mengulas permasalahan utama yang dihadapi rakyat ketika ini, Manivanan berkata, setiap kawasan di DUN Jeram Padang berdepan isu berbeza yang memerlukan pendekatan serta penyelesaian khusus, bukannya penyelesaian secara umum.
“Sebagai contoh, kalau di Taman Jaya dan kawasan sekitarnya, peluang pekerjaan. Kalau kita pergi kampung-kampung Orang Asli, dia adalah berkaitan dengan air, kebersihan air, tekanan air dan sebagainya. Kalau kita masuk kawasan-kawasan Felda, dia lebih kepada isu generasi kedua.
“Jadi, saya nampak dekat sini perlulah seorang pemimpin yang boleh menyelesaikan pelbagai masalah dalam masa yang dia ada iaitu dua ke tiga tahun sebagai seorang wakil rakyat,” katanya.
Beliau berkata, seorang wakil rakyat bukan sahaja perlu memahami keperluan masyarakat di setiap lokaliti, malah perlu mempunyai pengalaman serta keupayaan untuk membawa isu berkenaan kepada pihak berkaitan sehingga memperoleh penyelesaian.
Tambah Manivanan, hubungan baik dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan juga penting bagi memastikan setiap isu yang dibangkitkan rakyat dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.
“Pengalaman politik, selain hubungan yang baik dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, amat penting kerana ia akan memudahkan usaha menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat.
“Saya berharap diberikan mandat oleh pengundi di DUN Jeram Padang supaya dapat hadir, turun malah tampil sendiri menyelesaikan isu-isu ini dalam tempoh terdekat,” katanya.







