
SHAH ALAM – Selangor mencatat perkembangan positif dalam pengurusan bekalan air apabila negeri itu tidak mengalami gangguan air berskala besar sejak tahun lalu susulan pelaksanaan Skim Jaminan Air Mentah (SJAM).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, kejayaan itu hasil tindakan pantas SJAM dalam memastikan sumber air mentah kekal stabil walaupun berlaku beberapa insiden pencemaran.
“Peratus kejayaan SJAM adalah 100 peratus. Sejak diaktifkan pada Jun 2025, sebanyak 14 kali SJAM digunakan dan sehingga kini tiada gangguan bekalan air berlaku di Selangor.
“Memang berlaku pencemaran, tetapi ia tidak menjejaskan bekalan air. Malah, rizab air negeri juga semakin meningkat,” katanya.
SJAM merupakan antara projek utama di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang berfungsi sebagai sistem perlindungan sumber air bagi menghadapi risiko pencemaran serta musim kemarau berpanjangan.
Bagaimanapun, Izham berkata pelaksanaan projek itu turut berdepan cabaran termasuk isu pengambilan tanah dan pemindahan utiliti yang memerlukan tempoh panjang serta kos yang tinggi.
Menurutnya, walaupun SJAM berjaya mengurangkan risiko gangguan bekalan air, penggunaan tenaga elektrik untuk operasi pam serta keperluan bahan kimia turut meningkat.
“Cabaran kita ialah memastikan sumber air bersih sentiasa terjamin. Walaupun pencemaran dapat ditangani melalui SJAM, kos operasi turut meningkat dan tanggungjawab menjaga sumber air perlu dipikul bersama,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Selangor bakal memiliki loji rawatan air terbesar dan tercanggih di Asia Tenggara menerusi Projek Skim Bekalan Air Rasau yang mampu menghasilkan 1,400 juta liter sehari (JLH).
Izham berkata, projek berkenaan akan membantu memastikan bekalan air 24 jam kepada pengguna serta meningkatkan kapasiti simpanan air negeri.
Beliau menjelaskan, Loji Rawatan Air (LRA) Rasau Fasa 1 dijangka siap pada Mac tahun depan dan mampu menambah kapasiti bekalan sebanyak 700 JLH.
Projek Skim Bekalan Air Rasau merangkumi pembinaan LRA Sungai Rasau Fasa 1 dan Fasa 2, masing-masing berkapasiti 700 JLH apabila siap sepenuhnya menjelang 2030.
Selain itu, sembilan bekas kolam lombong seluas 489 hektar akan dibangunkan sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwifungsi pertama di Malaysia bagi menyokong bekalan air serta sistem tebatan banjir.
Izham turut memaklumkan rizab air Selangor kini mampu bertahan sehingga enam bulan sekiranya berlaku musim kemarau panjang menerusi gabungan SJAM dan Skim Simpanan Air Luar Sungai Selangor (SORSS).
Katanya, SJAM menyediakan simpanan air untuk tempoh tiga bulan, manakala SORSS menambah kapasiti simpanan bagi tempoh sama.
SORSS yang diperkenalkan tahun lalu melibatkan penjenamaan semula lebih 100 kolam takungan dan bekas lombong di Selangor sebagai sumber air alternatif.
Projek bernilai RM320 juta itu dijangka membantu menyediakan bekalan air bersih secara berterusan kepada lebih 1.5 juta akaun pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.




