
TAWAU – Seramai 48 mangsa yang terjejas akibat banjir kilat di Kampung Tanjung Batu Keramat, di sini, dipindahkan ke masjid berhampiran, awal pagi Sabtu.
Ketua Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.10 pagi sebelum jentera dan sepasukan anggota tiba di lokasi kejadian.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemantauan serta menyelamat mangsa yang terperangkap, sebelum memindahkan mereka ke sebuah masjid berhampiran yang dijadikan pusat pemindahan sementara.

“Pemindahan melibatkan dua warga emas, 28 orang dewasa dan 18 kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.
Menurut Jemishin, sepanjang operasi, pihak bomba turut menerima beberapa panggilan kecemasan lain berkaitan banjir di kawasan terjejas.
Antaranya Kampung Tanjung Batu Keramat, Taman Ria 1, Taman Hot Spring, Taman Sunshu dan Taman Sri Balung.

“Setakat ini paras air dilaporkan semakin surut dan keadaan berjaya dikawal sepenuhnya.
“JBPM akan terus memantau keadaan semasa serta bersedia memberi bantuan sekiranya diperlukan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau Mohd Shoffian Mohd Said dalam satu kenyataan turut mengisytiharkan berlaku bencana banjir di daerah ini

Pengisytiharan itu berkuat kuasa pada 8.30 pagi berdasarkan laporan dan maklumat diterima daripada agensi dalam JPBD di lapangan.
“Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan cuaca, hujan berterusan serta fenomena air pasang yang direkodkan mencecah 2.4 meter pada awal pagi, ” ujarnya.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tawau turut memaklumkan pasukan pemantau telah digerakkan seawal jam 3.55 pagi bagi memantau kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot banjir.
“Menurut Sekretariat JPBD Tawau, lokasi yang dipantau ialah Mid Valley, Taman Rainbow, Tanjung Batu Keramat dan Jalan Bunga Raya.

“Hasil pemantauan mendapati paras air di Mid Valley dan Taman Rainbow masing-masing berada pada 0.5 meter, manakala Jalan Bunga Raya merekodkan bacaan 0.4 meter dan semuanya masih dalam keadaan terkawal.
“Pada jam 8 pagi, bacaan paras air direkodkan pada 1.6 meter dengan trend menunjukkan penurunan, manakala keadaan cuaca ketika pemantauan adalah gerimis,
“Setakat ini, tiada jalan yang dinaiki air atau terputus, tiada kampung terputus hubungan, selain tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kerana keadaan masih terkawal,” ujar kenyataan itu.
Difahamkan, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Tawau turut diaktifkan dan proses pendaftaran mangsa sedang berjalan.





