
KUCHING – Tindakan seorang warga emas yang dipercayai bertindak sebagai penghantar sindiket dadah mengundang padah apabila dia ditahan bersama 25 kilogram (kg) metamfetamin bernilai RM1.25 juta pada 15 Julai lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek berusia 63 tahun itu diberkas di dalam kenderaan di kawasan tempat letak kereta MJC Batu Kawah New Township.
Menurut beliau, tangkapan tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan hasil maklumat risikan.
“Keseluruhan rampasan 25kg dadah yang disyaki metamfetamin ini dianggarkan bernilai RM1.25 juta dan berpotensi digunakan oleh kira-kira 125,000 orang penagih.
“Siasatan mendapati suspek berperanan sebagai penghantar bagi sindiket pengedaran dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohamad Zainal menjelaskan, semakan mendapati lelaki terbabit mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan judi terbuka dan hiburan.
Bagaimanapun, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tidak mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan bahan terlarang itu.
Suspek kini direman selama tujuh hari bermula 16 hingga 23 Julai ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali sekiranya hukuman mati tidak dikenakan.
Tegas beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak komited memutuskan rantaian bekalan dadah menerusi operasi agresif berteraskan pendekatan “Tiada Hari Tanpa Tangkapan”.
Orang ramai digesa untuk terus menyalurkan maklumat jenayah menerusi talian panas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di 012-2087222 atau JSJN Sarawak di 017-5929211.






