
KOTA KINABALU – Program Kem Bakti Belia MADANI anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Majlis Belia Sabah (MBS) di Kampung Kobuni menjadi platform penting dalam mencungkil dan membentuk potensi kepimpinan belia, khususnya golongan belia luar bandar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, dalam program yang berlangsung selama tiga hari itu, peserta terdiri daripada belia institusi pengajian tinggi (IPT) dan belia akar umbi diberi pendedahan kepada pelbagai aktiviti pembangunan diri, kepimpinan serta pembinaan sahsiah.
“Saya berharap peserta yang mengikuti program ini dapat menjadi fasilitator kepada program-program belia di kampung masing-masing bagi melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berkualiti.
“Kem Bakti Belia MADANI merupakan antara program utama yang telah lama digerakkan oleh Majlis Belia Sabah bagi membentuk generasi belia yang mempunyai jati diri, beretika dan berdisiplin.
“Usaha berterusan seperti ini mampu melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis yang bersedia memimpin masyarakat pada masa hadapan,”katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Penutupan Kem Belia Bakti MADANI, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mustapha turut menyeru semua belia di Sabah, khususnya di kawasan Sepanggar agar tidak melepaskan peluang menyertai program pembangunan belia kerana ia memberi manfaat besar dalam membina keyakinan diri, kemahiran kepimpinan serta masa depan yang lebih baik.
“Terdapat dua konsep utama dalam teori kepimpinan, iaitu born leaders (pemimpin semula jadi) dan trained leaders (pemimpin yang dibentuk melalui latihan).
“Tidak semua individu dilahirkan dengan bakat kepimpinan, namun setiap orang berpeluang menjadi pemimpin sekiranya diberi latihan, bimbingan dan pengalaman yang sesuai,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman peribadinya yang mengakui seorang yang sangat pemalu sejak kecil dan kurang bergaul dengan orang ramai.

“Titik perubahan berlaku ketika saya menuntut di Universiti Aberdeen, Scotland, apabila berpeluang menyertai kem kepimpinan di Wales yang menghimpunkan peserta dari seluruh United Kingdom.
“Pengalaman tersebut menjadi titik tolak yang membina keyakinan dirinya untuk bercakap di hadapan khalayak dan mengembangkan potensi sebagai seorang pemimpin,” kongsinya.
Sementara itu, beliau berharap lebih banyak program pembangunan belia seperti Kempaktik Belia MADANI dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan lebih ramai belia Sabah tampil sebagai pemimpin yang berintegriti, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negeri serta negara.






