Kastam Sabah gagalkan cubaan seludup sisik tenggiling RM1.3 juta

SANDAKAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) Sabah berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 100 kilogram sisik tenggiling bernilai kira-kira RM1.3 juta dalam empat siri operasi berasingan yang turut menyaksikan rampasan rokok seludup dan minyak diesel bersubsidi dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan melebihi RM1.45 juta.

Pengarah Kastam Negeri Sabah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan terbesar melibatkan sisik tenggiling dilakukan pada 6 Julai lalu, kira-kira pukul 2.30 petang, hasil pemeriksaan berkala sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sandakan bersama Unit Kargo Sandakan di pintu masuk kargo udara Sandakan.

“Pemeriksaan itu menemukan 100kg sisik tenggiling yang dipercayai cuba dieksport tanpa permit atau kelulusan sah daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah seperti diperuntukkan di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam (CITES) 2008 [Akta 686].

“Sisik tenggiling yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.3 juta dan dipercayai cuba dieksport dengan mengikrarkan barangan lain dalam Borang Kastam No. 3 bagi mengelirukan pemeriksaan pihak berkuasa,” katanya pada Sidang Media di Wisma Kastam Sandakan, pada Khamis.

Tambah Ahmad Taufik, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 kerana mengeksport spesies terjadual tanpa permit yang sah.

Sementara itu, dalam operasi berasingan pada 15 Jun lalu, Kastam Sabah turut merampas 80,000 batang rokok yang ditinggalkan di kawasan semak berhampiran Kampung (Kg) Bariawa, Batu 8, Sandakan.

“Rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM16,000 dengan duti dan cukai sebanyak RM56,160, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM72,160.

“Tiada individu ditemukan di lokasi dan sindiket dipercayai menjadikan kawasan semak sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum rokok dipindahkan untuk diedarkan ke pasaran tempatan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pada 16 Jun lalu, Kastam Sabah turut menumpaskan cubaan menyeludup 15,080 batang rokok pelbagai jenama yang ditemukan di dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Navara di kawasan tempat letak kenderaan berhadapan bangunan kedai di Jalan Sedco, Batu 2 1/2, Sandakan.

“Rampasan rokok berkenaan dianggarkan bernilai RM3,350 dengan cukai sebanyak RM10,619.56, manakala kenderaan yang dipercayai digunakan bagi mengangkut rokok seludup itu turut dirampas dengan nilai RM50,000.

“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan RM63,969.56. Sindiket dipercayai menggunakan kenderaan sewa bagi mengurangkan risiko dikaitkan secara langsung dengan kegiatan penyeludupan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, operasi Ops Tiris 4.0 Tahun 2026 pada 3 Jun lalu di Jeti Pasar Umum Sandakan turut membawa kepada rampasan 2,645 liter minyak diesel bersubsidi yang disimpan dalam 60 jerigen, sebuah tangki air plastik dan tong penyimpanan ikan jenis fiber.

Ahmad Taufik berkata, diesel itu dipercayai disimpan secara tidak sah untuk tujuan dieksport melalui jalan laut tanpa permit sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Rampasan diesel itu dianggarkan bernilai RM12,352.15 dengan cukai RM1,587, menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM13,939.15.

“Sindiket dipercayai menyembunyikan diesel di bawah struktur jeti serta menggunakan tangki air dan tong fiber bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum dipindahkan ke bot untuk diseludup ke luar negara,” jelasnya.

Tambahnya, kes kedua hingga keempat disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan atau barang yang dipercayai terlibat dengan kesalahan di bawah akta berkenaan.

Sehubungan itu, Kastam Sabah meminta orang ramai terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan menerusi Talian Bebas Tol 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran, dengan jaminan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Related Posts

Lima ADUN PH sah keluar Kerajaan Negeri Melaka, Ahli Majlis dan JPKK turut berundur

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka mengesahkan keputusan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) gabungan itu menarik diri daripada pentadbiran Kerajaan Negeri susulan pendirian menolak pindaan Enakmen Perlembagaan Negeri Melaka…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Kerajaan Perpaduan Perak kekal utuh hingga DUN dibubar – Saarani

IPOH – Kerajaan Perpaduan yang diterajui Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Perak akan terus kekal sehingga Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, meskipun timbul spekulasi susulan perkembangan politik…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Lima ADUN PH sah keluar Kerajaan Negeri Melaka, Ahli Majlis dan JPKK turut berundur

Lima ADUN PH sah keluar Kerajaan Negeri Melaka, Ahli Majlis dan JPKK turut berundur

Bersatu mahu ‘mufarakah’ daripada PN – Annuar

Bersatu mahu ‘mufarakah’ daripada PN – Annuar

Kerajaan Perpaduan Perak kekal utuh hingga DUN dibubar – Saarani

Kerajaan Perpaduan Perak kekal utuh hingga DUN dibubar – Saarani

Program Perumahan Rakyat bukti komitmen kerajaan sedia kediaman selesa buat golongan sasar

Program Perumahan Rakyat bukti komitmen kerajaan sedia kediaman selesa buat golongan sasar

Polis trafik dipenjara 4 bulan terima rasuah guna akaun isteri

Polis trafik dipenjara 4 bulan terima rasuah guna akaun isteri

MCMC wajibkan kandungan berbahaya disekat dalam tempoh 24 jam

MCMC wajibkan kandungan berbahaya disekat dalam tempoh 24 jam