
SEREMBAN – Prestasi ekonomi Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, disifatkan sebagai antara yang paling konsisten di negara ini apabila berjaya membina asas ekonomi yang seimbang menerusi kepelbagaian sektor serta menarik kemasukan pelaburan bernilai tinggi.
Penganalisis ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, walaupun Negeri Sembilan tidak mempunyai sumber petroleum yang besar seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu, mahupun saiz ekonomi sebesar Selangor atau Johor, negeri itu berjaya mengembangkan ekonomi secara mampan menerusi gabungan beberapa sektor utama.
Katanya, kekuatan Negeri Sembilan terletak pada keupayaan mempelbagaikan sumber pertumbuhan ekonomi melalui sektor pembuatan berteknologi tinggi, logistik, pelancongan, pertanian moden dan pembangunan hartanah.
“Negeri Sembilan bukan sebuah negeri yang bergantung kepada satu sektor ekonomi sahaja. Kepelbagaian ini menjadikan struktur ekonominya lebih seimbang, stabil dan berdaya tahan berbanding negeri yang terlalu bergantung kepada satu industri tertentu.
“Pendekatan sedemikian membolehkan negeri ini terus berkembang secara konsisten walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global,” katanya ketika mengulas prestasi ekonomi Negeri Sembilan.
Barjoyai berkata, antara pencapaian paling ketara kerajaan negeri ialah kejayaan menarik pelaburan domestik dan asing secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau berkata, bagi tempoh 2021 hingga 2025, nilai pelaburan asing yang diluluskan di Negeri Sembilan dianggarkan antara RM18 bilion hingga RM20 bilion, manakala jumlah pelaburan keseluruhan yang menggabungkan pelaburan asing dan domestik mencatatkan rekod tertinggi dalam sejarah negeri.
Katanya, pada 2025 sahaja, Negeri Sembilan merekodkan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM19.1 bilion, termasuk pelaburan asing bernilai RM4.43 bilion dengan China muncul sebagai pelabur terbesar sebanyak RM2.2 bilion, diikuti Belanda (RM800 juta) dan Taiwan (RM540 juta).
“Sebelum itu, pada 2024 negeri ini menerima pelaburan asing sebanyak RM3.4 bilion, manakala pada 2023 pula berjumlah RM6.01 bilion. Trend ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Negeri Sembilan terus kukuh,” katanya.
Menurut Barjoyai, kemasukan pelaburan itu banyak tertumpu di kawasan perindustrian seperti Nilai, Bandar Enstek, Sendayan dan Seremban yang kini berkembang sebagai hab industri elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, automotif, makanan serta logistik.

Katanya, perkembangan sektor berkenaan bukan sahaja meningkatkan aktiviti ekonomi negeri, malah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat.
“Apabila syarikat berteknologi tinggi memilih Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan, kesannya bukan sekadar kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi turut membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan,” katanya.
Mengulas faktor yang menjadikan Negeri Sembilan semakin menarik kepada pelabur, Barjoyai berkata kedudukan geografi negeri itu memberi kelebihan kompetitif yang sukar ditandingi negeri lain.
Katanya, lokasi yang berhampiran Kuala Lumpur, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Pelabuhan Klang serta mempunyai hubungan baik dengan Melaka dan Johor menjadikan negeri itu strategik sebagai pusat pelaburan dan logistik.
“Kerajaan negeri berjaya memanfaatkan kelebihan geografi ini untuk menarik pelaburan. Faktor logistik dan akses kepada pasaran menjadi antara pertimbangan utama pelabur sebelum membuat keputusan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan Wilayah Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dijangka terus mengukuhkan kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan utama negara, khususnya di koridor pertumbuhan Seremban dan Port Dickson.
Malah, katanya, komitmen projek pelaburan baharu melebihi RM27 bilion yang diumumkan kerajaan negeri, termasuk lima projek berskala besar membabitkan industri semikonduktor dan pusat data kecerdasan buatan (AI), dijangka menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negeri dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Barjoyai berkata, satu lagi kekuatan Negeri Sembilan ialah pendekatan pembangunannya yang lebih memberi tumpuan kepada pembangunan taman perindustrian, bandar baharu, infrastruktur dan pelaburan swasta berbanding terlalu bergantung kepada projek mega.
Katanya, pendekatan sedemikian lazimnya menghasilkan pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil serta mengurangkan risiko ketidaktentuan ekonomi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan menarik pelaburan perlu diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
“Ukuran sebenar kejayaan sesebuah negeri bukan sekadar jumlah pelaburan yang masuk atau kadar pertumbuhan ekonomi, tetapi sejauh mana rakyat menikmati manfaat melalui peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti, kos sara hidup yang lebih terkawal, pemilikan rumah mampu milik serta mutu perkhidmatan awam yang lebih baik.
“Itulah penanda aras sebenar kepada kejayaan sesebuah kerajaan negeri,” katanya.
Barjoyai berkata, beberapa cabaran masih perlu diberi perhatian termasuk memastikan pekerjaan baharu menawarkan gaji lebih tinggi, meningkatkan penyertaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan industri besar, mengurangkan penghijrahan tenaga mahir ke Kuala Lumpur dan Selangor serta memperkukuh sektor pertanian moden dan keselamatan makanan.
Beliau turut berpandangan pembangunan perlu terus diseimbangkan antara kawasan pesat seperti Seremban dan Nilai dengan daerah lain termasuk Kuala Pilah, Jelebu, Jempol dan Tampin supaya manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.
“Jika kerajaan negeri berjaya mengekalkan momentum pelaburan dan pada masa sama memastikan hasil pertumbuhan itu benar-benar dinikmati rakyat, saya melihat Negeri Sembilan berpotensi muncul sebagai antara model pembangunan negeri paling mampan di Malaysia,” katanya.








