
IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengelak menjawab secara langsung soalan berhubung pendiriannya terhadap janji untuk meletakkan jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Najib Razak dibebaskan.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa keutamaan ketika ini adalah melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan memberi khidmat kepada rakyat.
“Hati saya memang bersama rakyat. Saya boleh merasakan keperitan dan kesusahan mereka. Apabila saya datang membantu (program hari ini), elakkan semua isu ini.
“Saya tahu anda (pemberita). Anda mempunyai tugas yang perlu dilakukan, saya juga ada tugas untuk dilaksanakan.
“Marilah bekerja untuk rakyat dan negara. Fokus kepada kesejahteraan rakyat. Saya juga ada tugas yang perlu dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kewangan kepada mangsa ribut yang melanda Bercham baru-baru ini pada satu majlis di Kampung Bercham di sini, pada Ahad.
Kor Ming yang juga Timbalan Pengerusi DAP diasak pemberita supaya menjelaskan sama ada beliau masih berpegang kepada kenyataan terdahulu berhubung kesediaannya melepaskan jawatan sebagai menteri.
Sementara itu, dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Ahad, Kor Ming menegaskan beliau kekal berpegang kepada prinsip yang dinyatakannya sebelum ini, sambil menjelaskan kenyataan tersebut dibuat atas kapasitinya sebagai seorang peguam yang mempertahankan integriti sistem kehakiman negara.
Menurut beliau, pendiriannya bukan berkaitan soal peribadi atau politik, sebaliknya berasaskan prinsip mempertahankan kedaulatan undang-undang.
Katanya, jika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang disabitkan bersalah dalam kes berkaitan 1MDB, dibebaskan tanpa menjalani hukuman yang sewajarnya, ia akan menjejaskan kewibawaan sistem kehakiman negara.
“Jika keadaan sedemikian berlaku, demi mempertahankan integriti sistem kehakiman negara kita yang tercinta, saya sudi letak jawatan sebagai anggota Jemaah Menteri.
“Perkara ini tidak ada kaitan dengan soal peribadi, sebaliknya ia merupakan satu soal prinsip utama. Saya kekal berpegang teguh dengan prinsip ini,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Kor Ming turut mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan dalam PRN Johor, sambil menyifatkan keputusan itu sebagai amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh integriti.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong, petugas dan sukarelawan Pakatan Harapan, sambil menegaskan gabungan itu akan terus komited berkhidmat kepada rakyat meskipun tidak memenangi pilihan raya berkenaan.






