
SHAH ALAM – Kebenaran mendirikan solat Jumaat di Surau IOI City Mall, Putrajaya adalah bersifat sementara dan telah diperkenankan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj sejak September tahun lalu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Senator Datuk Seri Salehuddin Saidin berkata, kebenaran itu berkuat kuasa mulai 6 September 2024 selepas diputuskan Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor serta mendapat perkenan Sultan Selangor.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan mendapati premis berkenaan mempunyai jumlah kakitangan dan pengunjung lelaki beragama Islam yang ramai, namun berdepan kesukaran untuk menunaikan solat Jumaat kerana lokasi masjid berhampiran yang agak jauh.
“Masjid terdekat ialah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda dan Masjid UNITEN yang masing-masing terletak lebih tujuh kilometer dari premis. Kedua-dua masjid itu juga tidak mampu menampung jumlah jemaah yang ramai ketika solat Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kebenaran tersebut akan ditamatkan sebaik sahaja sebuah masjid baharu berhampiran IOI City Mall siap dibina dan mampu menampung keperluan jemaah di kawasan berkenaan.
Salehuddin turut menegaskan MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan serta pelaksanaan solat Jumaat di negeri itu dilaksanakan secara teratur, mematuhi hukum syarak dan selaras dengan peruntukan undang-undang.
Penjelasan itu dibuat susulan kenyataan Istana Selangor pada Rabu bahawa Sultan Sharafuddin tidak memperkenankan mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.
Ketetapan tersebut dibuat selepas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan yang mengalu-alukan pelaksanaan solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara susulan sambutan menggalakkan di beberapa lokasi di Wilayah Persekutuan.





