Kerajaan sedia dana RM30 juta, 19 kursus AI tingkat kemahiran pengamal media

KUALA LUMPUR – Kerajaan komited memastikan pengamal media di Malaysia bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), malah terus memainkan peranan sebagai sumber maklumat yang sahih, berwibawa dan dipercayai rakyat.

Kementerian Komunikasi berkata AI membawa peluang besar kepada industri media menerusi peningkatan kecekapan dalam penghasilan kandungan, analisis maklumat, penyuntingan, terjemahan serta penyampaian berita yang lebih pantas.

“Pendekatan kerajaan adalah seimbang. Kita tidak menolak AI, sebaliknya memastikan penggunaannya dalam sektor media dilaksanakan secara beretika, bertanggungjawab dan berpaksikan ketepatan fakta,” menurut Kementerian Komunikasi dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu bagi menjawab soalan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (PN-Kuala Kangsar) mengenai tahap ancaman AI serta inisiatif kerajaan bagi membantu pengamal media mendepani cabaran teknologi itu.

Bagi memperkasakan pengamal media, Kementerian Komunikasi memberi tumpuan kepada tiga strategi utama iaitu peningkatan kemahiran, pengukuhan etika dan adaptasi teknologi.

“Melalui Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), sebanyak 19 kursus dan latihan berkaitan teknologi digital serta AI telah dilaksanakan sehingga 15 Jun 2026.

“Kementerian turut bekerjasama dengan Malaysian Press Institute (MPI) menerusi program ‘AI Literacy for Journalists’ bagi meningkatkan kefahaman wartawan dan editor mengenai penggunaan AI dalam penulisan, penyuntingan serta penyampaian berita.

“Selain itu, kerajaan turut menyediakan Dana Inovasi Media berjumlah RM30 juta dengan pembiayaan sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan untuk menyokong latihan pekerja media, peningkatan kompetensi serta penggunaan teknologi termasuk aplikasi AI, automasi dan perisian audio visual,” katanya.

Dalam sektor penyiaran awam, Radio Televisyen Malaysia (RTM) kini sedang membangunkan garis panduan penggunaan AI bagi memastikan teknologi itu digunakan secara beretika, terkawal dan selaras dengan prinsip penyiaran bertanggungjawab.

Sementara itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah melaksanakan 10 kursus berkaitan AI sepanjang 2025 yang melibatkan 265 pengamal media di seluruh negara. Bagi tahun ini, agensi itu akan meneruskan 10 lagi program latihan AI bermula Julai hingga Oktober dengan kerjasama rakan industri dan pakar teknologi.

Pada masa sama, kementerian memaklumkan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) di bawah Akta 868 turut berperanan memperkukuh standard kewartawanan beretika dalam mendepani cabaran teknologi baharu termasuk AI, maklumat palsu dan manipulasi digital.

Kementerian menegaskan AI bukan semata-mata ancaman kepada industri media, sebaliknya mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti kewartawanan jika digunakan dengan kemahiran, etika dan kawalan yang sewajarnya.

“Komitmen kerajaan adalah untuk memastikan pengamal media Malaysia bukan sahaja mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, tetapi juga terus memainkan peranan utama sebagai sumber maklumat yang sahih, berwibawa dan dipercayai rakyat,” menurut kementerian.

Related Posts

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen esok

BEKAS Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu berhubung kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia…

Lebih lanjut

teruskan membaca
RUU Pendanaan Politik perlu selesai sebelum PRU16

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memperhalusi cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pendanaan Politik dan menjangka ia dibentangkan pada sidang Parlimen tahun depan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

Residen Miri sahkan lima mangsa nahas helikopter perkhidmatan doktor udara maut

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen esok

Abdul Azeez didakwa di Mahkamah Sesyen esok

Tekong, awak-awak terjun lumpur tinggalkan 8 PATI

Tekong, awak-awak terjun lumpur tinggalkan 8 PATI

Ismail nafi Zahid usaha jatuhkan Tuanku Muhriz

Ismail nafi Zahid usaha jatuhkan Tuanku Muhriz

Geng Man Kuda tumpas, 14 kes samun dan curi kenderaan terbongkar

Geng Man Kuda tumpas, 14 kes samun dan curi kenderaan terbongkar

PM Anwar mahu ketua jabatan, agensi kerajaan turun padang pastikan projek lancar

PM Anwar mahu ketua jabatan, agensi kerajaan turun padang pastikan projek lancar