
SEMPORNA – Sebuah badan pengawas pelajar yang menjaga hal ehwal pelajar disaran diwujudkan bagi menangani isu keselamatan pelajar di sekolah.
Pengerusi Badan Bukan Kerajaan Antarabangsa, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, badan pengawas itu boleh diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan atau badan bebas yang mempunyai kuasa tersendiri.
“Kes tikam pelajar di sebuah sekolah di Banting, Selangor baru-baru ini perlu dilihat secara mendalam dan kerajaan perlu bertindak segera serta bijaksana menangani isu keselamatan pelajar di sekolah.
“Badan pengawas pelajar untuk pengawasan pelajar berkaitan disiplin, kes buli, termasuk isu gangster di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan selepas lawatannya ke pusat mengaji Al-Quran di Kampung Bukit Lalang, pada Khamis.
Menurut Mustapha, kajian mendalam mengenai kes buli juga perlu dilakukan segera dan dilihat dari sudut kesihatan mental.
“Pemeriksaan berkala beg pelajar juga perlu dilaksanakan agar tidak ada senjata tajam seperti pisau atau lain-lain peralatan dibawa ke sekolah yang boleh mengancam pelajar lain,” ujarnya.
Mengenai pusat mengaji itu, Mustapha berkata, ia ditubuhkan dengan kerjasama Aqrab World iaitu sebuah Badan Bukan Kerajaan Muslim dari Singapura.
“Anak-anak yang mendapat pendidikan ini berusia antara enam tahun hingga peringkat remaja, hampir 200 anak-anak dari kampung ini menyertai kelas berkenaan yang dijalankan pada setiap malam.
“Seramai lima tenaga pengajar termasuk seorang pegawai Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang mengajar di pusat itu.
“Amat diharapkan kelas berkenaan mampu membimbing anak atau belia kampung mendalami asas agama untuk dijadikan sebagai panduan hidup sekaligus menghindari masalah sosial dan jenayah,” jelasnya.




