BATU PAHAT – Terdapat perubahan sokongan dalam kalangan pengundi atas pagar dan kawasan yang sebelum ini dianggap sebagai ‘kawasan hitam’ kepada Pakatan Harapan (PH) menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, penerimaan masyarakat ketika beliau turun bertemu pengundi sepanjang tempoh kempen yang memasuki hari ke-13.
Menurut beliau, walaupun terdapat kawasan yang sebelum ini dilabel sukar ditembusi PH, beliau melihat sambutan diterima menunjukkan petanda positif terhadap peluang parti itu pada PRN kali ini.
“Kalau nampak ini (Sri Sulong, Batu Pahat) adalah kawasan hitam dan nampak penerimaan masyarakat di sini semakin baik dan menyakinkan.
“InsyaAllah saya rasa ada perubahan yang akan berlaku pada 11 Julai nanti,” kepada The Malaysia Press (TMP) pada program Program Jelajah Jauhar MADANI di Sri Sulong, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Mohd Khuzzan berkata, pengundi atas pagar juga dilihat semakin terbuka untuk mendengar tawaran serta penjelasan daripada calon selepas beliau turun padang ke seluruh kawasan Semerah.

Beliau berpandangan, pendekatan bertemu masyarakat secara langsung memberi peluang kepada beliau menjelaskan komitmen untuk membangunkan kawasan berkenaan sekiranya diberi mandat.
“Alhamdulillah, sepanjang kita berkempen hari ini adalah hari ke-13 dan kita dapat lihat sambutan yang baik daripada masyarakat, masyarakat cina, kita faham dengan sentimen yang sekarang ini dapat meningkatkan undi-undi
“Bagi pengundi atau pemilih di kalangan orang Melayu, Alhamdulillah kita dapat lihat peningkatan yang baik di mana kita dapat (penerimaan positif rakyat hasil) turun ke semua kampung,” katanya.
Sementara itu, Mohd Khuzzan berkata, pengalaman ketika menjadi wakil rakyat sebelum ini menjadi antara faktor masyarakat masih mengingati program serta khidmat yang pernah dilaksanakan.
Sekiranya diberi mandat semula pada Sabtu ini, beliau menegaskan, pihaknya akan meneruskan usaha terdahulu dengan beberapa penambahbaikan bagi memenuhi keperluan penduduk Semerah.
“Sekarang ini semua kampung kita dah turun dan mereka masih mengenali saya semasa saya berkhidmat sebagai ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) 2018 dan alhamdulillah penerimaan masyarakat positif.
“Mereka juga menyatakan tentang program-program yang saya lakukan sepanjang 2018 dan 2022 dan InsyaAllah perkara yang sama akan saya lakukan dan penambahbaikan InsyaAllah jika saya diberi mandat pada kali ini,” katanya.



