BATU PAHAT – Mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu dilihat sebagai satu jihad dalam menentukan masa depan negara dan memilih pemimpin yang tepat selain menjadi hak eksklusif yang diberikan kepada setiap warganegara.
Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Suwadi Guliling berkata, proses memilih pemimpin melalui pilihan raya adalah peluang yang diberikan kepada rakyat untuk menentukan hala tuju pentadbiran berdasarkan keperluan dan kepentingan masyarakat.
Menurut beliau, hak memilih pemimpin melalui pilihan raya adalah hak istimewa yang hanya diberikan kepada warganegara dan perlu dihargai dengan melaksanakan tanggungjawab tersebut sebaiknya.
“Mengundi itu satu jihad kerana kita akan menentukan masa depan kita dan memilih wakil yang tepat dan betul.
“Ia adalah satu usaha yang wajib bagi setiap warganegara kerana hak ini hanya diberikan kepada warganegara dan tidak diberikan kepada bukan warganegara,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Jauhar MADANI di Sri Sulong, pada Jumaat.
Suwadi berkata, setiap undi yang diberikan rakyat memainkan peranan penting dalam menentukan pemimpin yang akan membawa amanah serta membangunkan negeri dan negara.
Beliau turut menzahirkan harapan supaya proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung Sabtu ini berjalan lancar dan aman agar pemimpin dipilih benar-benar memenuhi aspirasi masyarakat.
“Keluar mengundi penting untuk kita sebagai rakyat tentukan pemimpin dan tentukan masa depan negara ikut keperluan penduduk di setiap kawasan.
“Saya doakan agar proses pemilihan PRN Johor Sabtu ini berjalan lancar dan doakan Johor akan dipimpin oleh orang selayaknya,” katanya.
