
KOTA KINABALU – Kerajaan Negeri Sabah memperkukuh agenda reformasi pentadbiran dengan mempercepat proses kerja, mengurangkan kerenah birokrasi serta memperkukuh kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan.
Usaha tersebut bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan lebih cekap, berkesan dan memberi impak kepada rakyat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman berkata, beberapa perkara utama telah mendapat perhatian dan maklum balas positif hasil pertemuannya bersama Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, selaku Ketua Setiausaha Negara, pada 6 Julai lalu.
“Antara persetujuan penting yang dicapai ialah pelaksanaan konsep Review, Keep and Boost (RKB) dalam pengurusan projek kerajaan sebagai pendekatan baharu untuk menilai semula prosedur sedia ada, mengekalkan amalan terbaik serta menambah baik proses yang dikenal pasti dapat mempercepat penyampaian perkhidmatan awam.
“Pendekatan ini akan menjadi pemangkin kepada sistem penyampaian kerajaan yang lebih pantas, cekap dan responsif terhadap keperluan rakyat,” katanya dalam Majlis Perasmian Forum Pelaksanaan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (SANKALPA Sabah 2026), di sini pada Selasa.
Menurut Zainudin, dalam aspek pengurusan sumber manusia, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju dengan cadangan melibatkan 26 agensi di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang merangkumi hampir 300 jawatan baharu tanpa keperluan melaksanakan Audit Kendiri Perjawatan dan Organisasi (AKPO).
“Keputusan itu dijangka mempercepat proses pengisian jawatan strategik sekali gus memperkukuhkan kapasiti perkhidmatan awam negeri dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawab yang semakin berkembang.
“Bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan berjalan mengikut jadual, satu Mesyuarat Perhubungan Antara Negeri dan Persekutuan akan diwujudkan serta dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Tambahnya, mesyuarat tersebut akan menghimpunkan semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Setiausaha Tetap Kementerian bagi menyelaras status pelaksanaan projek, mengenal pasti isu berbangkit serta mempercepat penyelesaian agar setiap projek dapat disiapkan mengikut perancangan.
“Seiring usaha memperkukuhkan tadbir urus, saya mengarahkan semua Setiausaha Tetap Kementerian serta Ketua Jabatan mengenal pasti sekurang-kurangnya satu prosedur kerja yang boleh diperkemas melalui pendekatan RKB.
“Saya perlu menekankan kepentingan setiap kementerian dan jabatan memiliki Pelan Strategik yang komprehensif, pensijilan ISO, Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) serta mengamalkan Good Regulatory Practice (GRP) bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan mutu penyampaian perkhidmatan,” tegasnya.
Selain itu, Zainudin menggesa semua kementerian, jabatan dan agensi negeri mengintegrasikan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) ke dalam proses kerja yang telah melalui fasa RKB bagi meningkatkan produktiviti dan mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.



