
KOTA KINABALU – Sabah berpotensi menjadi hab tenaga hijau serantau menerusi pembangunan Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) di bawah agenda Blue Economy, sekali gus menyokong hala tuju pembangunan jangka panjang negeri.
Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman berkata, teknologi itu memanfaatkan perbezaan suhu antara air laut dalam dan permukaan laut untuk menjana tenaga elektrik, dengan cadangan pembinaan stesen jana kuasa merentasi kira-kira 500 kilometer garis pantai Sabah.
“Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi hab tenaga hijau serantau menerusi pembangunan Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC) di bawah agenda Blue Economy.

“Projek ini mempunyai potensi jangka panjang menghasilkan sehingga 20,000 megawatt (MW) tenaga hijau dan berupaya meletakkan Sabah sebagai antara peneraju projek tenaga laut terbesar di rantau Asia,” ujarnya semasa berucap pada Majlis Perasmian Forum Pelaksanaan Strategik Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (SANKALPA Sabah 2026), di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Zainudin berkata, SMJ 2.0 bukan sekadar kesinambungan kepada kejayaan SMJ 1.0, sebaliknya merupakan transformasi yang lebih strategik berasaskan tiga teras utama, iaitu sektor utama pertumbuhan ekonomi merangkumi pertanian, perindustrian dan pelancongan; modal insan dan kesejahteraan rakyat; serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau.
Katanya, tiga teras itu disokong oleh lima pemboleh daya dengan tiga tumpuan utama, iaitu ekonomi biru, pemanfaatan AI dan pembangunan inklusif bagi memastikan pembangunan yang seimbang di seluruh Sabah.





