
SEPANYOL mara ke suku akhir Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Portugal 1-0 hasil jaringan dramatik Mikel Merino pada masa kecederaan.
Gol kemenangan Merino pada minit ke-91 bukan sahaja menghadiahkan kemenangan buat La Roja, malah berkemungkinan menjadi penampilan terakhir legenda Portugal, Cristiano Ronaldo di pentas Piala Dunia.
Sepanyol kini menanti pemenang aksi antara Amerika Syarikat dan Belgium untuk menentukan lawan di peringkat suku akhir.
Pertembungan yang dinanti-nantikan itu bagaimanapun bermula dalam tempo berhati-hati apabila kedua-dua pasukan lebih banyak menguji kekuatan benteng pertahanan masing-masing berbanding menghasilkan peluang berkualiti.
Sepanyol hampir membuka jaringan pada babak pertama menerusi Mikel Oyarzabal yang berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol Portugal, namun percubaannya tersasar.
Portugal pula hampir mendahului apabila rembatan Nuno Mendes yang terkena pemain lawan melantun deras ke palang gol selepas berjaya melepasi penjaga gol Sepanyol, Unai Simón.
Sepanyol akhirnya memecahkan kebuntuan pada minit ke-91 apabila Rodri melorongkan bola kepada Ferran Torres sebelum pemain itu membuat hantaran tepat kepada Merino yang tidak dikawal.
Merino tenang menyempurnakan peluang tersebut dengan menewaskan Diogo Costa untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat Sepanyol.






