
KUCHING – Gabungan Parti Sarawak (GPS) menafikan kesahihan senarai nama individu yang tular di media sosial yang didakwa sebagai calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Ketua Penerangan GPS, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, setakat ini pucuk pimpinan gabungan parti pemerintah itu belum memuktamadkan sebarang senarai calon yang berpotensi.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menjelaskan, pencerahan tersebut amat penting bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan pimpinan parti dan para penyokong.
“Individu yang dicadangkan di dalam senarai tersebut tidak diiktiraf oleh pihak GPS,” katanya menerusi satu kenyataan media rasmi pada Isnin.
Bagaimanapun, Abdul Karim berkata pihaknya tetap menzahirkan penghargaan ke atas hantaran tular tersebut kerana ia disifatkan sebagai petanda sokongan berterusan orang ramai terhadap GPS.






