89 65 66 32 80 101 114 100 97 110 97 32 77 101 110 116 101 114 105 44 32 68 97 116 111 39 32 83 101 114 105 32 65 110 119 97 114 32 73 98 114 97 104 105 109 32 115 101 109 97 115 97 32 112 114 111 103 114 97 109 32 75 101 109 98 97 114 97 32 73 110 115 112 105 114 97 115 105 32 66 101 108 105 97 32 65 107 97 114 32 85 109 98 105 32 40 75 73 66 65 82 41 32 100 105 32 84 97 109 112 111 105 44 32 74 111 104 111 114 46 32 52 32 74 117 108 97 105 32 50 48 50 54 46 32 65 70 73 81 32 72 65 77 66 65 76 73 47 80 101
JOHOR BAHRU – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pembelaan terhadap orang Melayu tidak boleh sekadar dijadikan slogan politik, sebaliknya perlu dibuktikan melalui pelaksanaan dasar yang benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
Perdana Menteri berkata, terdapat pihak yang sering membangkitkan isu ketuanan Melayu bagi meraih sokongan ketika pilihan raya, namun gagal mempertahankan kepentingan orang Melayu apabila diberi mandat mentadbir.
“Jangan hanya melaungkan Bumiputera atau Melayu, hidup Melayu apabila dekat pilihan raya, tetapi selepas mendapat kuasa, kontrak Melayu dikaut, projek Melayu dikaut dan harta Melayu juga dikaut.
“Saya ingin bertanya kepada parti-parti yang sering berbicara soal ketuanan Melayu, bilakah kali terakhir kamu mewujudkan tanah rizab Melayu? Yang saya tahu, tanah rizab Melayu banyak yang terlepas kepada orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra PMX Bersama Belia Johor sempena Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Johor 2026 di Taman Melor, Tampoi, di sini, semalam.
Turut hadir Menteri Besar Selangor yang juga Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari.
Menurut Anwar, Kerajaan MADANI membuktikan komitmennya dalam memelihara kepentingan orang Melayu apabila mengisytiharkan kawasan seluas 20.23 hektar di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur sebagai tanah rizab Melayu, yang disifatkan sebagai langkah pertama seumpamanya sejak negara mencapai kemerdekaan.
Beliau berkata, tindakan itu membuktikan usaha memperkukuh kedudukan orang Melayu dan Bumiputera boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan hak masyarakat daripada kaum lain untuk menikmati pembangunan negara.
“Projek-projek masyarakat Cina kita tidak halang, supaya orang Cina dan India merasakan mereka ada tempat untuk dibangunkan. Tetapi janganlah kita gunakan slogan ketuanan Melayu hanya untuk kepentingan politik,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan Bandar Malaysia di tapak bekas Pangkalan Udara Kuala Lumpur, Sungai Besi yang dianggarkan bernilai pembangunan kasar RM140 bilion turut mencerminkan keseimbangan antara agenda pembangunan negara dengan pemeliharaan kepentingan Bumiputera.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata, kerajaan terus memberi penekanan terhadap pembangunan usahawan Bumiputera menerusi pelbagai inisiatif.
“Ini termasuk pelaksanaan program Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) SParK 2026: Transformasi Niaga.Katanya, PUNB menyasarkan kelulusan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030 untuk membantu memperkukuh pertumbuhan usahawan Bumiputera di seluruh negara,” ujarnya.
Beliau menegaskan, usaha memperkasakan orang Melayu tidak seharusnya terhenti pada retorik politik, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui dasar yang berkesan serta pelaksanaan yang memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat.
