KUANTAN – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di kawasan jejambat ASPA Cottage, di sini, malam tadi.
Mangsa dikenali Zahidan Nor, 46, dari Kampung Cherating, dekat sini, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.18 malam.
“Sebaik tiba, kita mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal dengan mangsa terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi menyelamat menggunakan teknik High Rope Rescue dengan dua anggota diturunkan ke dalam gaung bagi membawa naik mangsa menggunakan pengusung,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mohd Salahuddin, seramai 13 anggota termasuk Ketua Balai dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender dan sebuah van Urvan digerakkan ke lokasi.
Beliau berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tangan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.






