MUAR – Pengundi diingatkan agar sentiasa berwaspada dengan taktik sabotaj digital berikutan terdapat cubaan mewujudkan akaun palsu menggunakan wajah calon untuk menyebarkan fitnah sepanjang tempoh kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, yang berlangsung pada 11 Julai ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya turut kesal dengan beberapa insiden khianat fizikal termasuk tindakan merosakkan bendera serta papan iklan calon yang disifatkannya sebagai fasa kempen tidak sihat dan kuno.
Menurut beliau, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memantau rapat sebarang bentuk penyebaran maklumat palsu pilihan raya membabitkan taktik licik sedemikian.
“Saya belum dapat maklumat terkini daripada MCMC, berapa kandungan yang telah dikenal pasti untuk diturunkan berkait dengan maklumat palsu ataupun election misinformation tapi semua platform telah memaklumkan election misinformation adalah satu bentuk pelanggaran garis panduan komuniti platform.
“Kita nak elak daripada berita palsu tersebar dan saya minta para pengundi selalu rujuk dengan media arus perdana,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Makan Malam Amal, pada Khamis.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, perbuatan menggunakan elemen gengsterisme fizikal bagi tujuan menakut-nakutkan jentera parti mahupun orang ramai di lapangan perlu dihentikan segera demi memastikan perjalanan amalan demokrasi negara berjalan dengan harmoni.
Beliau memaklumkan, kematangan landskap politik tanah air ketika ini menuntut semua calon yang bertanding untuk mengamalkan pendekatan berkempen secara sihat dan matang tanpa menjatuhkan keperibadian pihak lain.
Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata kempen Pakatan Harapan (PH) di kawasan yang ditandingi calonnya pada PRN Johor berjalan lancar walaupun berdepan beberapa insiden kecil yang disifatkan sebagai cubaan mensabotaj kempen mereka.
Antaranya ialah menurun dan merosakkan poster serta membakar bendera parti namun ia tidak memberi kesan terhadap momentum keseluruhan kempen PH yang sedang berjalan.
Beliau mengakui terdapat sedikit insiden seperti poster koyak, papan iklan rosak dan bendera dibakar tetapi secara keseluruhannya, kempen masih tenang dan momentum tidak terjejas.



