
PONTIAN – Calon Pakatan Harapan (PH), Haniff Hosman menggariskan lima sebab utama mengapa rakyat Johor perlu memberikan mandat penuh selama lima tahun kepada Pakatan Harapan bagi meneruskan agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.
Menurut Haniff yang bertanding Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, Johor kini berada pada landasan terbaik hasil kestabilan pentadbiran serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Hubungan tersebut, katanya, sekali gus membawa limpahan pelaburan, peluang pekerjaan serta pembangunan infrastruktur yang semakin pesat.
“Antara perubahan paling ketara ialah semakin ramai anak Johor kini berpeluang bekerja di negeri sendiri berbanding suatu ketika dahulu apabila ramai terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur dan Singapura demi mencari rezeki.
“Jika dahulu ramai anak Johor terpaksa keluar mencari pekerjaan, hari ini syarikat-syarikat besar mula membuka operasi di Johor. Ini membolehkan lebih ramai rakyat mendapat pekerjaan berhampiran keluarga mereka,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa kekuatan ekonomi Johor dapat dilihat menerusi peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri yang mencecah RM158 bilion pada tahun 2024, meningkat sekitar 56 peratus berbanding tahun 2015.

Katanya, pertumbuhan tersebut membuktikan ekonomi Johor kini jauh lebih besar berbanding sedekad lalu dan menunjukkan perbezaan ketara antara pencapaian kerajaan terdahulu dengan pentadbiran Kerajaan MADANI pada hari ini.
Haniff turut menegaskan keyakinan pelabur terhadap Johor semakin meningkat apabila negeri itu berjaya merekodkan RM110 bilion pelaburan pada tahun 2025, sekali gus menjadi nilai pelaburan tertinggi yang pernah dicapai di Malaysia.
Menurut beliau, kemasukan pelaburan bukan sekadar memberi keuntungan kepada syarikat, malah membawa manfaat besar kepada rakyat melalui pembukaan pusat data, operasi syarikat baharu dan penciptaan lebih 24,000 peluang pekerjaan.
“Apabila pelaburan masuk, pusat data dibina dan syarikat beroperasi, rakyatlah yang menerima manfaat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan serta perkembangan ekonomi setempat,” katanya.
Dalam masa sama, Haniff berkata Johor kini muncul sebagai antara negeri yang mencatatkan pertumbuhan ekonomi paling pantas di negara ini apabila merekodkan pertumbuhan 6.4 peratus pada tahun 2024, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan ekonomi Johor bukan sahaja semakin besar, malah berkembang lebih pantas berbanding banyak negeri lain.
Tambahnya, Johor juga sedang mengalami transformasi ekonomi apabila tidak lagi bergantung kepada sektor perkilangan semata-mata, sebaliknya berkembang pesat dalam industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pusat data, teknologi hijau dan logistik moden.
Haniff berkata, perkembangan tersebut dapat dilihat menerusi pelaksanaan pelbagai projek strategik termasuk RTS Link, pembinaan hospital baharu, projek tebatan banjir, naik taraf jalan raya serta pelbagai kemudahan awam yang sedang dilaksanakan.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya terus memberi mandat kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Johor bagi memastikan momentum pembangunan dan pertumbuhan ekonomi dapat diteruskan.
“Jika kita mahukan lebih banyak pelaburan, lebih banyak peluang pekerjaan dan Johor terus menjadi negeri pilihan pelabur dunia, maka teruskan memilih kepimpinan yang telah membuktikan hasilnya di peringkat Persekutuan dan Negeri. Undilah Pakatan Harapan,” katanya.






