
SETIAP kali pilihan raya semakin hampir, isu agama kembali menjadi modal politik dengan ayat al-Quran, hadis dan istilah-istilah agama diangkat ke pentas politik bagi meyakinkan rakyat bahawa menyokong sesuatu parti merupakan tuntutan agama.
Fenomena ini bukan sahaja tidak sihat untuk demokrasi, malah boleh mengelirukan masyarakat tentang ajaran Islam yang sebenar.
Kenyataan itu mendapat perhatian Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar apabila merujuk kepada tulisan terbaru Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bertajuk ‘Wajib Keluar Mengundi’.
“Sebagai seorang Muslim, beliau bersetuju bahawa umat Islam wajib mengambil berat soal kepimpinan, amanah dan masa depan negara.
“Islam sememangnya menuntut kita memilih pemimpin yang adil, berintegriti, amanah dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Namun Mahfuz berkata, beliau tidak bersetuju dengan pendekatan tersebut apabila dalil al-Quran dan hadis digunakan untuk membina persepsi bahawa hanya satu aliran politik atau satu parti sahaja mewakili kehendak Islam.
“Hakikatnya, tiada satu pun ayat al-Quran atau hadis yang menamakan mana-mana parti politik moden sebagai satu-satunya wadah yang wajib disokong,” jelasnya.
Menurutnya lagi, apa yang ditetapkan oleh Islam ialah prinsip, bukannya jenama parti.
“Prinsip keadilan, amanah, kejujuran, kebijaksanaan dan maslahat rakyat adalah ukuran yang perlu menjadi panduan kepada setiap pengundi,” katanya.
Lebih membimbangkan, pendekatan yang mengaitkan pilihan politik dengan kedudukan agama seseorang boleh menimbulkan persepsi bahawa umat Islam yang memilih parti lain telah mengabaikan tuntutan agama.
“Pendekatan seperti ini mencampuradukkan ijtihad politik dengan persoalan akidah sehingga masyarakat mudah menghukum sesama Islam hanya kerana berbeza pilihan politik.
“Sedangkan politik ialah ruang ijtihad. Dalam ruang ijtihad, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang diiktiraf,” ujarnya.
Tambahnya lagi, adalah tidak wajar sesiapa memonopoli Islam seolah-olah hanya mereka memiliki kebenaran mutlak, manakala pihak lain dianggap tersasar daripada agama.
Jika benar politik ialah amanah agama, maka rakyat juga berhak menilai rekod dan konsistensi parti-parti politik.
Jelasnya, Rakyat berhak bertanya mengapa Pas pernah bermusuh dengan UMNO, kemudian bekerjasama, memutuskan hubungan, dan kini menyeru ahlinya menyokong calon daripada gabungan yang melibatkan UMNO.
“Rakyat juga berhak bertanya mengapa Pas pernah bekerjasama dengan Bersatu, tetapi kini hubungan kedua-duanya sering dilihat tegang.
“Mengapa pihak yang suatu ketika dahulu dilabel sebagai pengkhianat akhirnya menjadi rakan politik, manakala label tersebut berubah mengikut keadaan?,” soalnya.
Menurut Mahfuz soalan-soalan ini bukan bertujuan menghina mana-mana pihak.
Sebaliknya, jelas Mahfuz, ia mengingatkan bahawa jika agama dijadikan asas berhujah dalam politik, maka konsistensi terhadap prinsip juga mesti dinilai secara terbuka.
“Islam tidak pernah mengajar bahawa seseorang yang tidak mengundi parti tertentu telah berdosa atau mengabaikan agamanya.
“Yang diwajibkan ialah menegakkan keadilan, memelihara amanah, mencegah kezaliman dan memilih pemimpin yang mampu membawa manfaat kepada rakyat dan negara,” ujarnya.
Malaysia ialah sebuah negara demokrasi berperlembagaan. Dalam sistem ini, setiap warganegara mempunyai hak untuk membuat pilihan berdasarkan pertimbangan agama, integriti, kecekapan, kestabilan politik, perpaduan masyarakat dan kepentingan negara.
Hak ini perlu dihormati tanpa melabel pihak yang berbeza pandangan sebagai kurang Islam atau kurang beriman.
Menjelang pilihan raya, rakyat perlu dibimbing dengan ilmu, bukan ditakut-takutkan dengan sentimen agama.
Perdebatan politik hendaklah dibina atas fakta, rekod pentadbiran, dasar dan kemampuan, bukannya dakwaan bahawa hanya satu parti paling mewakili Islam.
“Agama ialah cahaya yang membimbing manusia ke arah keadilan dan kebaikan. Politik pula ialah medan ikhtiar untuk mengurus negara.
“Apabila agama dijadikan alat bagi meraih undi atau menakutkan pengundi, bukan sahaja politik yang rosak, malah kesucian agama turut dipertaruhkan,” katanya.
Akhirnya, rakyat perlu mengundi dengan hati yang tenang, fikiran yang rasional dan pertimbangan yang matang.
Pilihlah pemimpin yang amanah, berintegriti, berkeupayaan dan benar-benar mengutamakan kepentingan rakyat.
Itulah semangat Islam yang sebenar iaitu menegakkan keadilan dan membawa maslahat, bukan memonopoli agama untuk kepentingan politik.







