PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan (MoF) sudah memulakan sesi libat urus bagi penyediaan Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini dengan menjadikan kerangka Ekonomi MADANI sebagai asas utama perancangannya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyediaan belanjawan itu kini sedang diperhalusi bersama kementerian berkaitan bagi memastikan perancangannya selaras dengan hala tuju pembangunan yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, proses penyediaan belanjawan memerlukan penelitian yang menyeluruh kerana ia menjadi instrumen penting dalam merangka dasar dan strategi pembangunan negara.
“Pasukan di MoF dan juga kementerian sedang sibuk untuk melihat belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen bulan Oktober tahun ini.
“Jadi, seperti biasa, usaha ini mengambil masa yang lama dan seharusnya mengambil usaha kita selari dengan hala tuju yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau hari pertama pelaksanaan Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) di sebuah stesen minyak di Presint 8, di sini, hari ini.
Amir Hamzah berkata, kementerian menggunakan kerangka Ekonomi MADANI sebagai asas yang paling penting, di mana pihakya melihat usaha untuk meningkatkan siling dan meningkatkan lantai sebagai dua petanda yang penting untuk merancakkan ekonomi ke depan.
Menurut beliau, selain berpandukan kerangka Ekonomi MADANI, penyediaan Belanjawan 2027 turut mengambil kira pelaksanaan dasar yang digariskan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kandungan belanjawan sebelum ia dibentangkan di Parlimen.
“Saya tidak mahu mendahului pembentangan belanjawan. Yang penting, struktur kita adalah konsisten,” katanya.
Beliau berkata, sesi libat urus bagi penyediaan Belanjawan 2027 sudah dimulakan membabitkan beberapa kementerian dan pelbagai lokasi di seluruh negara bagi mendapatkan pandangan pihak berkepentingan.
Katanya, proses itu akan diteruskan dalam tempoh terdekat bagi memastikan belanjawan yang dirangka memenuhi keperluan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Insya-Allah kita akan terus membangunkan negara ke arah menjadi negara maju menjelang 2030,” katanya.







