
KUALA LUMPUR – Kerajaan mengunjurkan perbelanjaan subsidi produk petroleum mencecah hampir RM40 bilion tahun ini sekiranya harga pasaran semasa bahan api itu tidak berubah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan komitmen kewangan itu membolehkan rakyat Malaysia berusia 16 tahun ke atas terus menikmati petrol RON95 pada harga bersubsidi RM1.99 seliter.
“Kerajaan telah menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari dan Februari 2026, sebelum melonjak kepada sekitar RM5 bilion sebulan pada Mac dan April 2026.
“Sekiranya harga pasaran semasa ini kekal, kerajaan dijangka akan menanggung jumlah subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun 2026,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) mengenai jumlah terkini peruntukan subsidi petrol dan diesel serta pihak yang turut menerima manfaat daripada bantuan itu.
Anwar berkata, selain pengguna individu, subsidi petroleum turut disalurkan kepada sektor strategik dan kritikal bagi memastikan aktiviti ekonomi serta penyampaian perkhidmatan asas tidak terjejas.
Katanya, nelayan terus menikmati diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter, manakala penerima Bantuan Tunai BUDI Agri-Komoditi dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 turut menerima sokongan kerajaan.
Beliau berkata, Bantuan Tunai BUDI Agri-Komoditi dinaikkan secara interim daripada RM200 kepada RM400 sebulan bagi membantu lebih 210,000 petani dan pekebun kecil di Semenanjung Malaysia menghadapi peningkatan harga minyak dunia susulan ketegangan geopolitik dan konflik di Asia Barat.
Selain itu, SKDS 1.0 membolehkan pengusaha pengangkutan awam termasuk bas sekolah dan bas ekspres membeli diesel pada harga RM1.88 seliter.
Kemudahan sama turut diperluaskan kepada sektor logistik dan pengangkutan barangan yang layak di Sabah dan Sarawak, sekali gus membolehkan kenderaan komersial memperoleh diesel pada harga bersubsidi RM2.15 seliter.
“Pada masa sama, kumpulan sasar terpilih seperti pengusaha bot, pengguna janakuasa dan pam air untuk kegunaan kediaman di kawasan pedalaman yang turut memerlukan pembelian diesel bagi kegunaan harian.
“Individu ini juga layak menerima BUDI Diesel melalui mekanisme MyKad, tertakluk syarat kelayakan permohonan ditetapkan kerajaan negeri dan agensinya seperti Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Pejabat Residen, Pejabat Daerah atau Unit Perancang Ekonomi Negeri,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Anwar berkata bekalan petroleum negara kekal stabil dan mencukupi, manakala kerajaan akan terus memperkukuh langkah bagi menjamin keterjaminan bekalan dalam jangka panjang serta meneruskan pelaksanaan subsidi bersasar ketika ketidaktentuan bekalan global masih berlanjutan.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan rakyat terus dilindungi sekiranya krisis ini berpanjangan, khususnya kepada golongan yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga global.
“Kerajaan akan terus memantau kedudukan fiskal dan keupayaan subsidi secara berterusan bagi memastikan bantuan dapat diteruskan secara mampan dan bersasar,” katanya.





