
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak membenarkan sebarang pengumuman projek atau dasar baharu dibuat selepas hari penamaan calon bagi sesuatu pilihan raya selaras dengan peruntukan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, larangan itu turut meliputi penggunaan jentera Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tujuan berkempen.
Bagaimanapun, beliau berkata, projek yang telah diluluskan sebelum tempoh berkempen boleh diteruskan tanpa menyalahi peraturan.
“Tidak boleh menggunakan jentera untuk mengumumkan projek baru untuk masa kempen sama ada di peringkat bandar raya atau kerajaan negeri atau juga kerajaan persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Shahidan meminta penjelasan sama ada larangan pengumuman peruntukan atau projek kerajaan selepas hari penamaan calon masih berkuat kuasa serta mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Mengulas isu membabitkan pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Anwar berkata, tindakan itu tidak melanggar peraturan pilihan raya kerana hanya membabitkan projek baik pulih yang telah mendapat kelulusan sebelum ini dan bukannya projek baharu.
“Tidak boleh projek baharu. Ada projek sudah diluluskan dalam belanjawan tahun lalu, kemudian kita tekankan dan ulang, itu tidak ada kesalahan daripada peraturan pilihan raya dan saya semak daripada segi undang-undang dan juga dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai Akta Kesalahan Pilihan Raya.
“Jadi yang dilakukan itu, walaupun saya setuju dia janganlah supaya jangan ada salah tafsiran kerana perlu kita patuhi undang-undang ini… kita dulu di sini jadi kita cuba patuhi.
“Yang itu saya setuju, cuma untuk melihat sama ada ada kesalahan daripada segi undang-undang itu kalau tidak ada dalam peruntukan sama ada dalam belanjawan yang diluluskan ataupun yang sudah dalam kerangka kementerian masing-masing, itu memang kesalahan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pengumuman mengenai projek atau peruntukan yang telah diluluskan bukan satu kesalahan di sisi undang-undang kerana ia tidak membabitkan dasar atau projek baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata, beliau sendiri memilih untuk tidak membuat pengumuman sedemikian sepanjang tempoh kempen bagi mengelakkan sebarang salah tafsir terhadap pematuhan undang-undang pilihan raya.





