
KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai tanggungjawab untuk secara automatik menanggung sebarang keperluan pembiayaan tambahan yang timbul daripada keputusan kerajaan negeri, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, sebarang pertambahan kos projek yang membabitkan Notis Perubahan (NOC) perlu dirundingkan semula antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Jika ada ‘Notice of Change’ (Notis Perubahan (NOC)), ia membabitkan dana tambahan dan kena runding semula (antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri).
“Pertama (rundingan mengenai) peranan kontraktor dan dalam kes ini (projek Loji Rawatan Air Pelubang, Kedah) ada permasalahan dengan kontraktor.
“Seterusnya, kalau ada pertambahan (dana) ia membabitkan Kerajaan Persekutuan.
“Kita tak boleh terperangkap dengan keputusan kerajaan negeri dan bila ada masalah, automatik harus mendapat dana daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai kesediaan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan tambahan bagi mengelakkan kelewatan pembinaan projek strategik di Kedah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, proses rundingan perlu mengambil kira pelbagai aspek, termasuk peranan kontraktor serta implikasi kewangan terhadap Kerajaan Persekutuan sebelum sebarang pembiayaan tambahan dipersetujui.
Beliau turut berpandangan kerajaan negeri perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan supaya rundingan berkaitan isu pembiayaan dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.
“Saya secara peribadi setuju projek seperti rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Kedah, Anak Bukit dan RTB Pendang diberi keutamaan,” katanya.





