
INANAM – Pengusaha bas Sepanggar merayu campur tangan kerajaan bagi menangani isu pertindihan laluan bas yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka sehingga 50 peratus sejak perkhidmatan Bas.my mula beroperasi.
Pengerusi Koperasi Pengusaha Bas Zon Utara, Rahman Matusin berkata, pihaknya tidak menolak persaingan sihat, namun berharap Bas.my hanya beroperasi mengikut laluan yang telah ditetapkan dan tidak menambah laluan baharu.
“Hari ini kami datang berjumpa dengan Datuk Mustapha Sakmud kerana ingin meminta sedikit pertolongan mengenai situasi kami dalam industri bas.
“Kalau kita lihat sekarang, Bas.my sudah beroperasi. Kami sebenarnya menerima persaingan sihat tapi kalau boleh, biarlah mereka ikut laluan yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata kepada Wartawan TMP selepas mengadakan kunjungan kepada Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Ts Mustapha Sakmud di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar, di sini, pada Isnin.

Menurut Rahman, mereka mahu Bas.my tidak lagi menambah laluan-laluan baharu kerana jika syarikat itu menambah laluan baharu, bermakna periuk nasi pengusaha akan terjejas.
Mengulas hasil pertemuan itu, Rahman berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) meminta mereka mengemukakan surat kepada Kementerian Pengangkutan bagi tindakan lanjut.
“Alhamdulillah, Datuk menjawab dan insya-Allah beliau menyuruh kami membuat satu surat untuk berhubung dengan Kementerian Pengangkutan,” katanya.
Dalam pada itu, Rahman mendakwa kemasukan Bas.my telah memberi kesan besar kepada pendapatan pengusaha bas tempatan.
“Sejak Bas.my masuk, pendapatan kami boleh dikatakan sudah hilang 50 peratus daripada sebelumnya. Kalau difikirkan, kami ini pengusaha bumiputera sepatutnya kerajaan lebih memberi keutamaan kepada kami.
“Kenapa pula syarikat-syarikat besar yang datang dari luar itu yang diberi keutamaan? Jadi kalau mereka diberi keutamaan begitu, bagaimana pula nasib pengusaha yang sedia ada,” soalnya.

Dalam pada itu, Leader Google Educator Group (GEG) Sabah, Ts Mohd Idremzizan Idris, merakamkan penghargaan kepada Mustapha atas sumbangan dana yang membolehkan pihak sekolah memperoleh beberapa unit Chromebook bagi menyokong agenda pendigitalan pendidikan.
Beliau yang turut mengadakan kujungan kepada Mustapha berkata, sumbangan itu dimanfaatkan ketika beliau masih berkhidmat di SK Pangkalan TLDM, sekali gus membantu membudayakan penggunaan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Walaupun saya memang sudah tidak berada di situ tapi Chromebook itu masih digunakan dan dijadikan alat untuk PdP murid-murid dan juga guru-guru,” ujarnya.




