SUNGAI PETANI – Seorang nelayan lemas manakala lima rakannya berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki terbalik akibat dipukul ombak besar berhampiran Pulau Sayak, dekat sini hari ini.
Mangsa, Muhammad Amin Izham, 27, dari Kampung Masjid, Tanjung Dawai yang pada mulanya memegang tali bot selepas bot terbalik dilihat tenggelam timbul sebelum hilang dibawa arus.
Bagaimanapun, tindakan pantas sekumpulan nelayan lain yang kebetulan dalam perjalanan pulang ke pangkalan berjaya menarik mangsa daripada dihanyutkan lebih jauh.
Namun, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik meninggal dunia sebaik dinaikkan ke bot nelayan yang membantunya, manakala lima lagi rakannya berjaya diselamatkan.
Menurut rakan mangsa yang mahu dikenali sebagai Hassan, kejadian ombak besar berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari tadi ketika mereka dalam perjalanan pulang dari kawasan perairan Batu Maung, Pulau Pinang ke Tanjung Dawai selepas memukat ikan di situ.
“Kami keluar sejak pukul 6 pagi tadi dan kejadian berlaku semasa menghampiri Pulau Sayak apabila ombak besar dan angin kencang.
“Bot yang dinaiki kami berenam kemudiannya terbalik menyebabkan kesemua kami terjatuh ke dalam laut,” katanya hari ini.
Menurut Hassan lagi, dia dan empat rakannya yang lain sempat berpaut pada badan bot yang terbalik, manakala mangsa memegang tali dan berada agak jauh daripada mereka.
“Kami melihat dia tenggelam timbul sebelum hilang dan dalam masa sama sebuah bot nelayan lain menghampiri kami serta membantu menaikkan mangsa ke dalam bot mereka.
“Kami berlima berjaya diselamatkan, namun mangsa didapati sudah tidak bernyawa sebaik dinaikkan ke bot,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian itu pada pukul 12.10 tengah hari tadi.
“Saya mengesahkan kejadian melibatkan kematian seorang nelayan manakala lima rakannya berjaya diselamatkan.
“Mangsa dihantar untuk proses bedah siasat di Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim sebaik didaratkan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.





