Pas jangan permainkan maruah bangsa Johor, tarik diri sahaja dari bertanding

PILIHAN RAYA bukan sekadar pertandingan merebut kerusi, tetapi medan rakyat menilai kejujuran dan ketegasan sesebuah parti politik.

Atas sebab itu, setiap parti yang bertanding wajib membawa pendirian yang jelas supaya pengundi tidak keliru dengan mesej yang disampaikan.

Arahan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya ahli, penyokong dan pengundi Pas mengundi calon Barisan Nasional (BN) di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) menimbulkan persoalan besar mengenai konsistensi pendirian parti itu.

Di satu pihak, Pas bertanding menentang BN di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mengajak rakyat menolak calon BN.

Namun, di pihak yang lain, Pas secara rasmi mengarahkan penyokongnya mengundi BN di kawasan yang tidak ditandingi PN.

Persoalannya, apakah sebenarnya pendirian Pas? Adakah BN sebuah parti yang perlu ditolak atau sebuah parti yang layak disokong? Prinsip politik tidak sepatutnya berubah hanya kerana sempadan kawasan pilihan raya.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar, menyifatkan pendekatan ini sebagai sesuatu yang merosakkan amalan demokrasi kerana pengundi dilihat seolah-olah dijadikan alat percaturan politik.

Katanya, pengundi bukan barang dagangan yang boleh dipindahkan sokongannya mengikut strategi semata-mata tanpa penjelasan yang meyakinkan.

“Jika benar Pas berpendapat Johor perlu terus diperintah oleh BN atas alasan membentuk kerajaan Melayu-Islam, maka parti itu sepatutnya berterus terang kepada rakyat.

“Pendirian yang paling jujur ialah menarik diri daripada semua 11 kerusi yang ditandingi dan memberi laluan sepenuhnya kepada BN,” katanya.

Menurut Mahfuz, pendirian sedemikian sekurang-kurangnya konsisten dan tidak mengelirukan rakyat.

Sebaliknya, bertanding untuk menewaskan BN di sesetengah kawasan tetapi pada masa sama mengarahkan penyokong memenangkan BN di kawasan lain hanya mengundang kekeliruan.

“Lebih menyedihkan ialah kedudukan ahli-ahli Pas sendiri. Selama berpuluh-puluh tahun mereka dididik bahawa UMNO merupakan lawan politik utama. Mereka berkorban masa, tenaga dan wang demi perjuangan parti. Kini mereka diminta pula mengundi calon UMNO mengikut strategi pilihan raya.

“Ahli dan penyokong Pas bukan sekadar jentera politik yang boleh diarahkan mengikut percaturan semasa.

” Mereka berhak mendapat penjelasan yang telus dan jujur mengenai hala tuju sebenar parti,” ujarnya.

Jelas Mahfuz lagi, rakyat Johor juga berhak mengetahui jawapan kepada persoalan yang lebih besar.

Adakah Pas masih benar-benar mahu menggantikan BN sebagai kerajaan negeri?

Atau adakah Pas sebenarnya mahu memastikan BN terus memerintah Johor?

Menurut Mahfuz, politik yang matang menuntut kejelasan pendirian. Pas tidak boleh dilihat bercakap dengan dua lidah dalam satu pilihan raya.

Jika benar mahu menjadi pembangkang, maka lawanlah BN secara konsisten. Jika benar mahu BN terus memerintah Johor, nyatakan secara terbuka kepada rakyat dan berilah laluan kepada BN di semua kerusi yang berkaitan.

Akhir kata, rakyat tidak menilai sesebuah parti hanya berdasarkan strategi politiknya, tetapi juga berdasarkan kejujuran, ketegasan prinsip dan penghormatan terhadap maruah pengundi.

Dalam demokrasi, kejujuran kepada rakyat sentiasa lebih bernilai daripada percaturan politik yang mengelirukan.

Related Posts

Hanya PH, BN boleh tubuh Kerajaan Negeri Johor

KLUANG – Hanya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka dapat menubuhkan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
PRN Johor: Keputusan Pas untungkan PH

MUAR – Keputusan Pas untuk tidak membantu kempen Bersatu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini disifatkan telah memberikan sedikit kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH). Bagaimanapun, Pengarah Komunikasi PH,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Belia Kg Pomotodon, Kg Malaka diberi peranan anjur Sukaneka MADANI, lahirkan pemimpin pelapis

Belia Kg Pomotodon,  Kg Malaka diberi peranan anjur Sukaneka MADANI, lahirkan pemimpin pelapis

Elak debat terbuka, Onn Hafiz dilihat gusar berdepan cabaran idea

Elak debat terbuka, Onn Hafiz dilihat gusar berdepan cabaran idea

Fahmi santuni keluarga pesakit kronik, dekati masyarakat Muar melalui Program JIWA@Komuniti MADANI

Fahmi santuni keluarga pesakit kronik, dekati masyarakat Muar melalui Program JIWA@Komuniti MADANI

Gara-gara curi kabel TNB, wanita melecur teruk dan ditidurkan

Gara-gara curi kabel TNB, wanita melecur teruk dan ditidurkan

Lima stesen baharu LRT3 dibina hujung tahun ini, My50 diperluas mulai Ogos

Lima stesen baharu LRT3 dibina hujung tahun ini, My50 diperluas mulai Ogos

Pas jangan permainkan maruah bangsa Johor, tarik diri sahaja dari bertanding

Pas jangan permainkan maruah bangsa Johor, tarik diri sahaja dari bertanding